Kes Pemain Bola Sepak Belasah Kekasih: Rizal Tak Akan Direhatkan Dari Pasukan

Pengurusan Sabah FC memaklumkan kemungkinan tidak akan ‘merehatkan’ atau menggantung pemain pertahanannya, Mohd Rizal Mohd Ghazali, biarpun berhadapan kes mahkamah atas dua pertuduhan memukul dan merosakkan telefon bimbit teman wanitanya.

Menurut laporan Harian Metro, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasirb berkata, tidak adil untuk pasukan menjatuhkan hukuman kerana isu tersebut adalah peribadinya.

Tambah beliau, pihak pengurusan akan mengadakan perbincangan bersama pengendali pasukan iaitu Datuk Ong Kim Swee dan Rizal bagi mendapat kata putus mengenai isu ini.

“Walau apa pun saya akan berbincang dengan ketua jurulatih dan Rizal sendiri untuk melihat apa jalan penyelesaian terbaik.

“Sekarang ini adalah membabitkan isu peribadi pemain itu dan tiada kena mengena dengan Sabah FC. Jadinya, kalau pemain itu boleh beri tumpuan dalam pasukan dan memberikan komitmen tinggi sekali gus tiada masalah jika dia beraksi untuk Sabah FC,” katanya.

Dalam pada itu, kekasih Rizal yang dikenali sebagai Dr Hana dalam satu perkongsian berharap kes tersebut dapat diadili dengan baik.

“Saya menyerahkan kepada mahkamah untuk melakukan tugasnya, doakan keadilan tercapai.

‘Sabar dan jangan menyerah,” tulisnya ringkas.

Terdahulu, Rizal didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini atas dua pertuduhan memukul dan merosakkan telefon bimbit teman wanitanya, dua minggu lalu.

Awal Jun lalu, media melaporkan seorang bekas pemain kebangsaan dan masih aktif dengan sebuah pasukan terkenal dipercayai membelasah kekasihnya sehingga cedera selepas berlaku pergaduhan antara mereka di sebuah hotel.

ARTIKEL BERKAITAN: Akibat Pukul Hingga Cedera Kekasih, Bekas Pemain Bola Sepak Kebangsaan Didakwa Di Mahkamah

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Dicekik & Dihempas Ke Lantai, Kekasih Dedah ‘Dibelasah’ Pemain Bola Sepak Tempatan

ARTIKEL BERKAITAN: Pemain Bola Sepak ‘Belasah’ Teman Wanita Ditahan Polis

ARTIKEL BERKAITAN:“Lepas Dapat Tahu, Dia Nekad Nak Jumpa…” – Teman Wanita Dipukul, Dicekik Pemain Bola Sepak Gara-Gara… 

Khairil Khusyairi