Malaysia Dikategorikan Sebagai Negara Ke-3 Termalas Jalan Kaki, Ini Komen Netizen – “Cuaca Kita Ni Panas!”

Malaysia dikategorikan sebagai negara ketiga tertinggi dunia yang malas untuk melakukan aktiviti berjalan kaki menerusi kajian Universiti Stanford, California.

Memetik laporan Kosmo, perkara itu turut dibuktikan menerusi maklum balas 717,527 responden yang memberi pandangan tentang gaya hidup penduduk dari 111 negara di seluruh dunia.

“Rakyat Malaysia secara purata melakukan 3,963 langkah sehari,” katanya.

Malah, penyelidikan tersebut menyimpulkan bahawa corak aktiviti fizikal yang dilakukan oleh setiap penduduk di negara dunia sangat berbeza dan berpotensi untuk berdepan dengan masalah obesiti.

Menerusi kajian tersebut, Indonesia turut dilabel sebagai negara pertama di dunia yang malas berjalan kaki dengan jumlah purata rakyat sekitar 3,513 langkah sehari.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menyatakan setiap individu disarankan oleh global untuk berjalan kaki sekurang-kurangnya 5,000 langkah sehari.

Dalam pada itu, kajian tersebut turut menyifatkan negara yang kurang masalah obesiti mempunyai penduduk yang aktif melakukan aktiviti berjalan kaki setiap hari.

Perkara itu juga terbukti apabila terdapat jurang besar antara individu yang gemar berjalan kaki berbanding golongan kurang mengamalkan gaya hidup sihat tersebut yang lebih berisiko mendapat obesiti.

Hasil tinjauan di ruangan komen Kosmo, rata-rata rakyat Malaysia kurang senang dengan keputusan kajian tersebut kerana faktor cuaca negara ini yang panas tidak sesuai untuk aktiviti tersebut dilakukan.

Sumber: Kosmo

Fatin Nurain