Peminat Bola Sepak Protes Keputusan Pengadil Jepun Berat Sebelah

Pengadil Jepun Ryuji Sato teruk dikecam peminat bola sepak tanah air gara-gara dipercayai berat sebelah dalam perlawanan Piala AFF pasukan Malaysia menentang Vietnam di Hanoi, malam tadi.

Pada perlawanan tersebut, skuad kendalian Kim Pan-Gon ternyata buntu untuk membuktikan sesuatu bagi menjaringkan sepakan gol serta beberapa keputusan pengadil yang dianggap meragukan.

Momentum skuad kebangsaan jelas terencat selepas pengadil dari Jepun itu memberikan penalti kepada pasukan Vietnam selepas pemain negara, Azam Azmi didakwa mengasari pemain tuan rumah di luar garisan padang.

Tidak terhenti di situ, Ryuji juga melayangkan kad merah kepada Azam Azmi sebelum pemain Vietnam, Que Ngoc Hai menyempurnakan sepakan penalti.

Menjengah ke media sosial, rata-rata peminat bola sepak negara berang dengan keputusan Ryuji yang menghadiahkan penalti kepada tuan rumah sedangkan pemain Vietnam dilihat terlebih dahulu merempuh Azam hingga terjatuh.

Rata-rata komen di media sosial memprotes keputusan tersebut dengan meluahkan rasa amarah di akaun media sosial peribadi Ryuji.

Malah, ada juga yang berpendapat bahawa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) perlu mengambil tindakan ke atas Ryuji.

Pada aksi di Stadium My Dinh itu, Malaysia terpaksa akur apabila tewas 0-3 di tangan Vietnam.

Khairil Khusyairi