“Perkara Ni Tak Patut Berlaku Di Malaysia “- Gara-Gara Makan Sampah, Dua Beradik Maut

Kejadian dua beradik warga Myanmar yang maut selepas memakan sisa makanan dalam tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut pada Ahad ternyata menjadi topik perbualan hangat rakyat Malaysia.

Malah, terdapat segelintir warganet yang sedih memikirkan keadaan kanak-kanak tersebut yang terpaksa mendapatkan makanan dalam tong sampah semata-mata mahu meneruskan kehidupan.

Bukan itu sahaja, warganet juga turut mempersoalkan peranan ibu bapa mangsa dalam hal demikian kerana bagi mereka ibu bapa seharusnya bertanggungjawab dan menjaga kanak-kanak ini.

Memetik laporan Berita Harian, kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai Nizambudin, 4, dan adiknya, Ngei Jamaludin, 2, dilaporkan meninggal dunia berhampiran tempat kejadian selepas dilihat terhuyung-hayang dan mulut berbuih sebelum disahkan meninggal dunia.

Malah, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, memaklumkan bapa kepada kanak-kanak malang itu kini ditahan pihak polis selepas ujian air kencingnya didapati positif dadah.

 

 

Sumber/kredit foto : BH, Harian Metro

Salma Syahbuddin