Saksi Dedah Nampak Bella Baring Di Lantai Tanpa Alas, Jelas Kesan Lecur Pada Leher.. Ini Update Terbaru #JusticeForBella

Perbicaraan kes penderaan yang melibatkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun dan remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella kini telahpun diteruskan.

Susulan itu, seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa di mana beliau nampak Bella baring di lantai bilik dobi di sebuah kondominium bertempat di Wangsa Maju tanpa dialas dengan selimut dan tilam.

Saksi, Suhana Zam, 40 merupakan seorang Pegawai Penyelidik Undang-Undang di sebuah firma guaman turut memberitahu Bella ketika itu ditemui di bilik dobi kondomiminum pada jam 4 pagi dan terdapat kesan melecur jelas terpampang di leher mangsa.

“Saya buat kerja sampai (pukul) empat pagi. Saya pergi ke dapur hendak buang sampah, saya ingat tong sampah ada di bahagian laundry.

“Saya cuba buka pintu, saya tak buka lampu saya tersepak sesuatu di atas lantai. Kemudian saya buka lampu, saya lihat Bella baring di atas lantai tanpa selimut, tanpa alas tidur, tanpa bantal,” katanya.

Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, saksi kelapan itu disoal mengenai tindakannya selepas terserempak dengan mangsa.

Suhana yang telah mengenali Siti Bainun semenjak tahun 2009 itu berkata, dia terkaku saat memandang Bella untuk beberapa saat kerana terkejut dan tidak percaya dengan apa yang berada di hadapannya.

“Saya terkejut dan tergamam. Sewaktu pertama kali nampak saya tak tahu nak buat apa sebab pada waku itu pukul empat pagi, saya sudah letih sangat. Saya tergamam dalam tempoh 10 hingga 15 saat.

“Saya tidak percaya dengan apa yang sana nampak. Saya tutup pintu, saya tutup lampu, saya kunci kemudian masuk bilik (sendiri) dan baring,” ujarnya.

Kejadian yang berlaku pada 21 Mei 2021 itu difahamkan Suhana merancang untuk tidur di kondominium itu selama dua hari bagi menghadiri majlis sambutan Hari Raya penghuni kondominium itu.

“Saya tiba di sana dalam tengah hari dan merancang untuk duduk selama dua hari. Apabila saya masuk ke tempat itu, saya nampak Bella berdiri di tepi dinding menghadap meja makan dan terdapat kecederaan pada leher Bella iaitu kulitnya melecur serta merah-merah.

“Ketika itu, Siti Bainun menyuruh seorang penghuni rumah yang dikenali sebagai Aida menukar pakaian Bella selepas Kak Haiza memanggil Bella untuk menyertai sesi bersalaman di ruang tamu… Saya dengar Bainun cakap betulkan butang baju tu, bagi tinggi sikit nanti orang nampak kata saya dera pula,” ujarnya.

Dalam pada itu, saksi berkata dia ada bertanya kepada tertuduh mengenai kecederaan Bella, namun Siti Bainun memberitahu mangsa ‘main simbah-simbah air panas’ dengan adik-beradiknya.

“Aida dan Balqis tidak termasuk Yasmin, itu yang saya tahu. Saya cakap pada Siti Bainun takkan kau biar budak-budak bergaduh macam itu dan Siti Bainun menjawab ‘Saya tidak boleh nak buat apa sebab Aida kalau dah marah, hilang akal,” katanya.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindown down sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 13 Jun ini.

Artikel Berkaitan: #JusticeForBella: Saksi Tukar Kenyataan Atau Putar Belit Fakta? Mengaku Kecederaan Lecur Berpunca Dari Tumpahan Air Termos Bukan Dari Penapis Air

Artikel Berkaitan: “Kami Jumpa Dia, Jelas Kesan Kecederaan Fizikal..” – Peguam Pemerhati Harap Kes #JusticeForBella Dipercepat

Artikel Berkaitan: Rina Harun Mohon Orang Ramai Jangan Sebar Maklumat Palsu Berkaitan #JusticeForBella

Sumber: Malaysia Gazette

Aqilah Paharuzi