Scan QR MySejahtera Dimansuhkan & Pemakaian Pelitup Muka Di Kawasan Terbuka Tidak Diwajibkan Mulai 1 Mei

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin (KJ) telah mengumumkan beberapa protokol baharu susulan negara kini telah memasuki fasa peralihan endemik pada 1 April lalu.

Antara pengumuman prosedur operasi standard (SOP) hari ini adalah pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan apabila berada di kawasan terbuka.

Tambah KJ, orang ramai hanya diwajibkan untuk memakai pelitup muka apabila mereka berada di dalam kawasan bangunan tertutup, menaiki pengangkutan awam serta menaiki kenderaan e-hailing.

Beliau turut berkata pelitup muka boleh ditanggalkan semasa melakukan aktiviti-aktiviti bersenam di gimnasium atau ketika sedang berucap atau melakukan persembahan.

Bagaimanapun, KJ turut menegaskan bahawa pelitup muka harus dipakai apabila rakyat Malaysia berada di kawasan yang sesak.

“Walau bagaimanapun, KKM menggalakkan agar pemakaian pelitup muka di luar bangunan terus diamalkan terutamanya apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti bazar Ramadan, pasar malam, stadium,” katanya.

KJ turut memaklumkan protokol pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan di kawasan luar bangunan atau terbuka setelah mengambil kira pelbagai risiko penularan jangkitan yang rendah dalam keadaan ventilasinya adalah baik.

Manakala pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan bagi individu yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema serta individu yang berisiko tinggi semasa berada di kawasan terbuka dan tertutup.

KJ menyatakan kelonggaran pemakaian pelitup muka dan imbasan kod QR MySejahtera tidak diwajibkan lagi apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam akan berkuatkuasa pada 1 Mei ini.

Antara SOP lain yang dimaklumkan KJ ialah kes positiv COVID-19 boleh dilepaskan dari kuarantin lebih awal jika mereka diuji negatif pada hari ke-4, penjarakan fizikal tidak diperlukan kecuali dalam keadaan tidak memakai pelitup muka dan lain-lain lagi seperti tertera di bawah.

Aqilah Paharuzi