Categories: Trending

Rancakkan Ketibaan Syawal Bersama Orkestra Filharmonik Malaysia & S. Atan

Raikan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (atau Malaysian Philharmonic Orchestra – MPO) menerusi sebuah penghormatan kepada komposer tersohor Malaysia, S. Atan dalam konsert bertajuk Cahaya Aidilfitri – A Tribute to S. Atan.

Bakal berlangsung pada Sabtu, 14 Mei 2022, jam 8:30 malam di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), konsert bertemakan Aidilfitri ini dipimpin oleh konduktor Ahmad Muriz Che Rose dan julung kali diadakan untuk menyaksikan kebolehan MPO dalam mempersembahkan muzik dari pelbagai genre, daripada karya orkestra klasik kepada muzik filem, pop, jazz dan kontemporari.

Konsert ini juga akan menyaksikan S. Atan menyertai senarai artis-artis yang pernah berkolaborasi bersama MPO seperti Tan Sri S.M. Salim, Datuk Sheila Majid, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Zainal Abidin, Aubrey Suwito dan ramai lagi.

Seorang lagenda dalam industri muzik, S. Atan (atau nama sebenarnya Hashim Said) ialah seorang penulis lagu, komposer muzik dan penerbit album yang telah memenangi pelbagai anugerah.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah menulis, menggubah dan menghasilkan lebih daripada 1,000 lagu-lagu popular untuk ramai artis yang terkenal. Antara artis yang pernah bekerjasama dengan beliau ialah Datuk Sharifah Aini, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Carefree, Black Dog Bone dan Datuk Sudirman Haji Arshad.

Saksikan MPO mempersembahkan lagu-lagu Aidilfitri S. Atan yang ikonik dan penuh dengan nostalgia di pentas DFP seperti, Cahaya Aidilfitri, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Joget Hari Raya, Salam Aidilfitri, Inang Aidilfitri, Menjelang Hari Raya dan banyak lagi.

Semua lagu yang dimainkan telah digubah dan diberikan nafas simfonik oleh Luqman Aziz, Jenny Chin, Ilham Subri, Gerard Salonga, Ahmad Muriz Che Rose, Vivian Chua dan Syed Sharir.

Konsert ini juga akan disertai oleh artis-artis tersohor Malaysia seperti Datuk Jamal Abdillah, Jay Jay dan Azlina Aziz. Mereka akan bergandingan bahu bersama MPO untuk membawa penonton menyusuri memori Aidilfitri melalui alunan vokal mereka yang hebat.

Untuk maklumat lanjut mengenai konsert ini, sila layari www.dfp.com.my/cahayaaidilfitri

Padin