Categories: Trending

Kongsi Foto Ala Pre-Wedding, Uqasha Senrose Bakal Nikah Tak Lama Lagi?

Perkongsian terbaru pelakon Uqasha Senrose menerusi hantaran terbaru di laman Instagram miliknya mendapat perhatian ramai.

Uqasha memuat naik foto dirinya menyarungkan busana pengantin serba putih yang kelihatan klasik, mewah dan evergreen rekaan pereka fesyen terkenal, Shanell Harun.

Foto terbabit mencuri perhatian peminat dan ramai yang menyangka tarikh bahagia Uqasha dan kekasihnya, aktor Kamal Adli semakin hampir.

Uqasha turut berkongsi video pendek ‘behind the scene’ dirinya menggayakan busana Shanell Harun lengkap dengan barangan kemas Habib Jewels bernilai lebih RM4 juta.

Menurut Uqasha, foto dan video terbabit merupakan antara bingkisan awal sebelum mengumumkan dirinya sebagai ‘muse’ untuk koleksi busana pengantin Gabrielle 2021 yang bercirikan pengaruh klasik Inggeris rekaan Shanell Harun.

“Sebenarnya, foto dan video itu adalah untuk koleksi Gabrielle 2021 rekaan Shanell Harun. Saya sendiri rasa teruja dan terharu menjadi individu pertama dan ‘muse’ yang menggayakan busana terbabit.

“Sejujurnya, saya selesa dengan potongan semua koleksi dan setiap perincian yang digunakan, bersesuaian dengan jiwa saya,” katanya.

Sentiasa mementingkan ketelitian, kekemasan serta kesempurnaan dalam setiap busana sentuhannya, Shanell Harun yang hampir sedekad membangunkan jenama fesyen miliknya menyifatkan pemilihan Uqasha adalah yang bersesuaian untuk koleksi Gabrielle 2021.

“Uqasha sangat sesuai untuk koleksi ini. Kali ini, saya mahu melakukan sesuatu yang berbeza. Jika tahun lalu, koleksi pengantin menampilkan tema Pesta Berinai, kali ini saya menampilkan idea ala Inggeris yang klasik dan tak ditelan zaman.

“Penggunaan fabrik ‘french lace’ sebagai asas rekaan, berperincian minimal yang dipadankan bersama layah dan set berlian, pastinya membuat bakal pengantin tampil anggun menawan di hari bahagia mereka,” kata pereka kelahiran Pulau Pinang ini.

Tambah bekas pensyarah fesyen di Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini lagi, dia menukar percaturan akibat wabak yang melanda dunia.

“Sepatutnya, setiap awal tahun saya akan mengadakan pertunjukan fesyen bagi koleksi perkahwinan saya. Namun begitu, akibat pandemik, semuanya terbantut.

“Kini, saya menukar strategi dan menggunakan platform digital untuk melancarkan koleksi Gabrielle 2021. Pandemik bukan penghalang saya untuk terus berkarya dan semuanya boleh dilihat menerusi akaun Instagram saya @shanellharun,” katanya lagi.

Foto: Nana Azman

Padin