Categories: Trending

KREN TUMBANG DI MRR2, PENGGUNA DIMINTA BERSABAR

Patutlah sesak teruk di sepanjang Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sebentar tadi! Ini berikutan sebuah kren tumbang di Jalan Bunga Anggerik jam 9 pagi tadi.

Susulan kejadian itu, pemandu kren Azri Yahya cedera di bahagian pinggang dan dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.12 pagi.

“Seramai enam anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati satu kren tumbang dan melintang di tengah jalan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kren berkenaan yang hilang imbangan dan terjatuh di atas jalan.

“Kren yang terjatuh itu menyebabkan laluan utama MRR2 menuju ke Ampang terpaksa ditutup selepas ia merentangi dua daripada tiga lorong di jalan terbabit.

“Keadaan itu menyebabkan kesesakan teruk di lebuhraya berkenaan,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, kesesakan lalu lintas berlaku sepanjang lebih empat kilometer dari arah Hulu Klang ke Ampang susulan kejadian itu.

SGMS Faida