Categories: FeaturedTrending

Langkah kuarantin wajib rakyat pulang dari luar negara tepat

Tindakan Kerajaan mewajibkan setiap rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikuarantin selama 14 hari dianggap tindakan tepat dalam usaha menghentikan penularan wabak COVID-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sehingga kini Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan seramai 131 rakyat Malaysia yang dikuarantin wajib sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), disahkan positif COVID-19.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian selepas Mesyuarat Menteri Kanan Mengenai PKP di Putrajaya, sebentar tadi. Foto: Bernama/Harry Salzman.

Katanya, langkah Kerajaan itu bukan sahaja dapat membendung penularan COVID-19 , tetapi juga mengelakkan wujudnya kluster baharu iaitu kluster import.

“Sekiranya 131 rakyat Malaysia yang baru pulang itu dibenar melakukan kuarantin sendiri di rumah, dikhuatiri akan wujud kluster baharu yang akan menjangkiti keluarga mereka, malah masyarakat sekeliling.

“Oleh itu, sejak fasa dua PKP Kerajaan mengambil tindakan setiap individu yang baru pulang dari luar negara wajib dikuarantin di pusat kuarantin disediakan Kerajaan,” katanya pada sidang media harian selepas Mesyuarat Menteri Kanan Mengenai PKP di Putrajaya, sebentar tadi.

 

Rakyat Malaysia yang baharu pulang dari luar negara wajib menjalani kuarantin di pusat kuarantin disediakan Kerajaan – gambar hiasan. Foto: NSTP/Muhammad Shahril Badri Saali.

Semalam, seramai 1,794 rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air disaring dan dikuarantin secara wajib, menjadikan secara keseluruhannya sebanyak 19,945 rakyat menjalani proses kuarantin wajib sejak 3 April 2020.

Daripada jumlah itu, seramai 16,633 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib di 209 pusat kuarantin yang beroperasi di seluruh negara berbanding hanya 204 sahaja sehari sebelumnya.

Seramai 6,778 individu selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak 17 April lalu.

 

Laluan haram atau lorong tikus diperketatkan kawalan bagi mengelak penceroboh luar masuk ke negara ini seterusnya menyebabkan jangkitan COVID-19 – gambar hiasan. Foto: Ihsan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ismail Sabri berkata, selain tindakan mengkuarantin rakyat Malaysia yang baru pulang dari luar negara, Kerajaan juga memperketatkan kawalan di pintu masuk ke negara ini termasuk lorong tikus yang sudah dikenal pasti oleh pihak berkuasa.

“Seramai 84 individu ditangkap kerana menceroboh masuk melalui lorong tikus terbabit, justeru kita memperketatkan kawalan kerana tidak mahu berlaku penularan daripada kluster baharu iaitu kluster import melalui lorong tikus.

“Sehubungan itu, semua agensi telah diminta untuk menggandakan sekatan dan kawalan mereka di lorong tikus atau laluan haram yang telah dikenal pasti supaya tiada orang luar yang menerobos masuk dan seterusnya mewujudkan jangkitan baharu,” katanya.

Shaidah Shafie