Categories: Eat Travel

Indah khabar seperti rupa, Si manis karam bersama sampan resipi iftar wajib cuba!

Nak masak apa hari ini? Baru masuk hari kedua berpuasa, dah buntu nak masak apa.

Masakan tidak, dekat dua bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, hari-hari memasak pastilah rasa jemu nak ke dapur. Bukan semua orang versatil dalam menyediakan hidangan.

Kalau sebelum ini, segala lauk-pauk dan kuih-muih boleh didapati di bazar Ramadan, malangnya suasana Ramadan kali ini amat berbeza sekali. Semoga wabak koronavirus ini segera pergi.

Baiklah cukup-cukup membebel banyak sangat. Hari ini penulis ingin berkongsi satu resipi istimewa iaitu pencuci mulut yang diberi nama sebagai ‘si manis karam bersama sampan’. Resipi ini adalah resipi asal personaliti media sosial, Khairul Aming.

Senang sangat nak buat agar-agar si manis karam bersama sampan ini. Anda hanya perlukan empat jenis buah dan penulis gunakan buah tembikai, mangga, kiwi dan anggur. Pastikan semuanya manis!

Foto: Archive Hijab & Heels

Jom kita mulakan!

Bahan-bahan:

40 gram agar-agar (Kalau nak pakai serbuk, boleh pakai satu paket kecil).
1 cawan gula putih
3 cawan air (cawan saiz sederhana)
Buah tembikai (belah dua memanjang)
2 biji buah mangga
2 biji buah kiwi
Setangkai anggur
(Nak guna buah lain pun boleh ikut selera)

Cara penyediaan:

1. Buah mangga dan kiwi dipotong dadu. Anggur pula nak belah dua boleh, nak letak seketul pun boleh.

2. Kemudian keluarkan isi tembikai. Sebaiknya guna pencedok buah (macam pencedok aiskrim tu) memandangkan isi tembikai itu akan digunakan semula.

Foto: Archive Hijab & Heels

3. Bila kulit tembikai sudah jadi seperti sampan, baru masak agar-agar. Kalau masak agar-agar dulu, yang lainnya belum disediakan bimbang keras kejung pula agar-agar itu nanti.

Tip: Setengah paket agar-agar bersamaan tiga cawan air dan secawan gula putih (kalau suka manis tambah sikit lagi).

4. Bila agar-agar dah masak tuang sikit saja dalam kulit tembikai sebagai lapisan bawah.

5. Selepas itu masukkan semua buah-buahan dah dipotong tadi dan gaul sebati.

Foto: Archive Hijab & Heels

6. Seterusnya, masukkan kesemua agar-agar tadi sampai ‘ngam-ngam’ pada permukaan kulit. (Jangan sampai tumpah ya!)

7. Sejukkan dalam tiga jam. Dah siap!

Foto: Archive Hijab & Heels

Selamat mencuba!

Yanie Baharom