Categories: Kes MahkamahTrending

Nafi Kurus Sebab Tekanan Kes Amang Seksual, PU Azman Masih Aktif Beri Ceramah – “Saya Dah Tak Fikirkan Apa-Apa…”

Pendakwah bebas Pencetus Ummah (PU) Azman masih aktif memberi ceramah meskipun berdepan dengan pelbagai tuduhan jenayah seksual.

Memetik laporan mStar, Azman atau nama sebenar Azman Syah Alias, 42, memberitahu dia menjalani kehidupan seperti biasa termasuk berdakwah di media sosial miliknya.

“Perkembangan terkini seperti biasa… Saya masih menerima jemputan ceramah.

“Kebanyakan program ceramah dilakukan di Perak dan saya juga masih buat content di media sosial seperti biasa.

“Dalam situasi seperti ini, saya dah tak fikirkan apa-apa,” katanya.

Sementara itu, dia menafikan fizikalnya kelihatan kurus kerana tertekan dengan kes yang dihadapi tetapi aktif melakukan aktiviti seperti mendaki bukit dan gunung.

“Selebihnya saya melakukan aktiviti-aktiviti bersifat peribadi seperti hiking, itu yang nampak kurus sikit,” jelasnya.

Pada sebutan kes hari ini, Hakim Norhazani Hamzah menetapkan pertuduhan kes amang seksual melibatkan Azman di Mahkamah Sesyen Klang dibicarakan serentak dengan kes di Mahkamah Sesyen Ampang.

Mahkamah menetapkan 8, 9, 23, 29 dan 30 Mei 2024 sebagai tarikh perbicaraan.

Untuk rekod, Azman menghadapi 12 pertuduhan iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, empat kes di Mahkamah Majistret dan Sesyen Klang, satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang serta dua kes di Mahkamah Shah Alam.

Maya Basir