Pasangan pelakon Nazim Othman dan Bella Dally mengejutkan orang ramai apabila mengumumkan perpisahan mereka pada Khamis di saat umat Islam sedang menyambut Ramadan yang pertama.
Kedua-dua mereka membuat pengumuman itu di akaun Instagram masing-masing bahawa perkahwinan mereka telah berakhir dengan penceraian.
Mentafsir keputusan yang diambil berdasarkan catatan nota di Instagram milik mereka, keduanya sepakat bercerai secara baik malah mengakui sudah sedaya upaya mencuba yang terbaik untuk menyelamatkan rumah tangga yang dibina pada 10 September 2016 itu sebelum keputusan ini diambil.
Sebelum ini memang sudah terdengar rumah tangga mereka bergolak, apabila pasangan ini pernah memadamkan foto bersama di Instagram sehingga menimbulkan syak di kalangan netizen. Selain tidak kelihatan ke majlis-majlis hiburan bersama.
Akhirnya segala teka-teki sudah terjawab apabila Nazim dan Bella mengumumkan mereka sudah sah bercerai. Semoga kedua-dua mereka diberi kesabaran dan ketabahan melalui ujian di bulan Ramadan yang mulia ini.