Categories: Trending

Pelamin Impian Uyaina Arshad & Raja Syahiran Musnah Kerana Banjir – “Memang Kami Alami Kerugian, Tapi…”

Hos dan pelakon cantik, Uyaina Arshad mendedahkan pelamin yang sepatutnya digunakan untuk majlis pernikahannya musnah kerana banjir.

Selamat bernikah dengan penyanyi Raja Syahiran pada jam 9.03 pagi tadi, pengacara program Wanita Hari Ini turut terkesan dengan bencana banjir yang berlaku di sekitar Lembah Klang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pilih Tarikh 21.12.21, Uyaina Arshad Selamat Bernikah Dengan Raja Syahiran

“Nak dijadikan cerita, pelamin yang sepatutnya digunakan telah siap dan disimpan di gudang perancang perkahwinan yang terletak Puchong. Apabila banjir melanda, semuanya musnah kerana gudang terbabit terletak di kawasan yang terjejas.

“Majlis berinai sepatutnya diadakan malam tadi, tetapi kami batalkan. Kami memandang perkara ini sebagai satu ujian dan mujur ada perancang perkahwinan yang boleh menyiapkan pelamin lain dalam masa yang singkat.

“Apa yang penting, perancangan kami untuk bernikah berjaya dilangsungkan dengan baik disaksikan keluarga dan teman rapat.

“Kediaman Syahiran di Subang pun terkena dengan tempias banjir. Kami menerima segala ujian dengan berlapang dada kerana pasti ada hikmah atas semua kejadian,” katanya lagi.

Tambah Syahiran, perancangan untuk mereka berbulan madu yang pada awalnya dirancang bermula Khamis ini tidak dapat diteruskan.

“Kami sudah membeli tiket untuk berbulan madu di Eropah. Keluarga saya ada tinggal di sana. Namun begitu, kami membatalkan segala perancangan kerana risaukan penularan varian baru Covid-19 yang semakin mengganas di sana.

“Bila dihitung jumlah yang kami sudah keluarkan untuk bulan madu dan merancang perkahwinan, kami memang rugi. Tapi, buat masa sekarang, tidak elok untuk kami dedahkan jumlahnya.

“Ramai lagi yang lebih susah dan lebih terkesan kerana bencana yang melanda negara kita. Saya dan Uyaina berdoa dan berharap agar segalanya kembali pulih dan urusan semua pihak dipermudahkan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai cahaya mata, pasangan ini menanam impian untuk mempunyai lima orang anak dan menyerahkan soal zuriat kepada ketetapan rezeki.

Kredit foto: Gempak / Meletop / CST Production

Padin