Categories: Trending

Pengalaman Cinta Terkandas Jadi Inspirasi Dr Hafiz Zainal

Pembabitannya pada program realiti popular tahun lalu membuka ruang buat penyanyi Dr Hafiz Zainal untuk lebih dikenali.

Biarpun tidak bergelar finalis, Dr Hafiz, 29, atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Zainal tetap mampu berbangga dengan apa dicapai.

Apatah lagi selepas program itu, Dr Hafiz muncul dengan beberapa single di bawah syarikat Rhythm & Rhyme Entertainment, milik pasangan suami isteri juga penyanyi, Akim Ahmad dan Stacy.

Terbaharu, Dr Hafiz muncul dengan single keenam berjudul Tak Kira yang sudah dilancarkan serentak dengan video muzik sejak 15 Oktober lalu di saluran YouTube Rhythm and Rhyme Entertainment.

Menariknya, menerusi lagu ciptaan Bunga Cantik itu, Dr Hafiz diberi peluang untuk menjadi penulis lirik bersama Bunga Cantik dan Hang Nadim.

Bagi Dr Hafiz, itu adalah percubaan dan pengalaman pertama terbabit dalam bidang penulisan lirik sekali gus menjadikan ia satu lagi pencapaian dalam kerjaya seni yang dibina.

“Sejujurnya, saya teruja dan dalam masa sama gementar. Apatah lagi ini adalah lagu pertama saya terbabit dalam penulisan lirik lagu. Istimewanya, menerusi single keenam ini baru saya berani mencuba. Terima kasih kepada Akim dan Stacy kerana memberi kepercayaan untuk saya menjadi penulis lirik bersama mereka,” katanya.

Menurut Dr Hafiz, lirik lagu Tak Kira itu adalah berdasarkan pengalaman dan kisah percintaan yang pernah dilalui biarpun kandas di tengah jalan.

Malah, Dr Hafiz menyifatkan lagu bergenre pop balada itu bukanlah lagu yang meratap kesedihan, tapi lebih kepada sudah bersedia bercinta semula atau dalam erti kata lain ‘move on’.

“Sebelum masuk program realiti terbabit saya bercinta dengan seseorang. Namun, beberapa bulan selepas menyertai program itu, kami putus cinta. Hubungan saya dengan wanita itu hanya bertahan hampir setahun. Diakui memang kecewa.

“Disebabkan itu, saya mengambil keputusan untuk memberi fokus kepada kerjaya doktor gigi dengan membuka klinik gigi sendiri. Kebetulan ketika itu pun aktiviti seni dan hiburan tidak dibenarkan. Jadi, saya ada alasan kukuh kenapa membuat keputusan itu.

“Nak dijadikan cerita, saya pula selalu lepak dengan Akim dan Stacy. Sedikit sebanyak mereka memang tahu cerita dan apa saya lalui. Disebabkan itu, ketika lagu ini dihasilkan, mereka terus minta saya tulis lirik supaya ‘feel’ lebih terasa. Saya pun cuba dan Alhamdulillah berjaya menghasilkan lirik pertama,” katanya.

Pun begitu, menurut Dr Hafiz sebagai orang baru yang berjinak-jinak dalam bidang itu, dia tetap menerima teguran dan tunjuk ajar daripada Akim dan Stacy.

“Lirik lagu Tak Kira ini saya tulis dulu berdasarkan jalan cerita yang saya ingin sampaikan. Apabila sudah siap, Akim dan Stacy kemas dan cantikkan lagi penggunaan perkataan dan ayat.

“Diakui ia lebih mudah sebenarnya, sebab jalan cerita saya. Secara tidak langsung mengembalikan semula memori dan kenangan yang pernah dilalui. Itu yang lebih mudah. Jadi, saya berharap peminat dan pencinta muzik tanah air dapat menerima karya ini,” katanya.

Padin