Categories: Trending

Rapper Malaysia, Indonesia & Singapura Bergabung Dalam ‘Orang Lain’

Penyanyi rap Indonesia, A. Nayaka muncul berkolaborasi dengan rapper Malaysia, SonaOne dan rapper Singapura, YHB Sleepsalot dalam single baru yang berjudul Orang Lain.

Bercerita mengenai kerjasama tiga negara itu, Nayaka mendedahkan yang kisah sebalik penyatuan mereka adalah cukup menarik.

“Pada mulanya Sona menghantar rentak kepada saya. Kemudian, saya isi dengan cangkuk (hook) dan satu bait kata (verse).

“Rupanya, Sona juga mengirim YHB rentak yang sama dan YHB pun hanya mengisinya dengan satu bait kata.

“Sona kemudian terfikir untuk menggabungkan kesemuanya. Sesungguhnya kolaborasi ini sangat organik dan lancar sekali,” kata Nayaka.

Walaupun dia biasanya berkarya dalam bahasa Inggeris, Nayaka masih tetap mengekalkan penuturan dwibahasa tetapi kali ini dia lebih banyak memberi penekanan pada bahasa ibundanya iaitu bahasa Indonesia.

“Sebenarnya, penggunaan Bahasa Indonesia bukanlah pilihan yang disengajakan. Ia berkait rapat dengan mesej dalam “Orang Lain”.

“Dulu kebanyakan muzik yang saya buat biasanya dalam bahasa Inggeris, tetapi kali ini saya masih tetap menggunakan rentak trap/hip-hop namun berusaha memasukkan lebih banyak bahasa Indonesia.

“Intipatinya, tidak kira bagaimanapun kita berubah, pada dasarnya kita masih tetap diri kita sendiri. Itulah mesej utama yang ingin saya sampaikan. Namun sejujurnya, saya hanya menyatukan mesej tersebut setelah lagu itu siap,” ujarnya sambil tertawa.

Perubahan positif lain yang dialami Nayaka adalah dia lebih bebas dalam berkarya.

“Saya menggarap sebahagian besar aspek lagu ini. Mixing dibuat oleh Sona, manakala mastering dibuat oleh saya dengan bantuan rakan sekerja.

“Saya membuat cover art dengan seorang rakan lain, begitu juga dengan video liriknya. Sebenarnya saya gembira kerana tidak banyak pihak ketiga yang terlibat dalam projek ini, kerana ia memberi peluang kepada saya untuk benar-benar terlibat dalam semua aspek. Mungkin ini adalah projek pertama di mana saya terlibat dalam hampir semua perkara,” katanya.

Lagu Orang Lain boleh didengari di semua platform muzik digital pilihan anda dan di laman YouTube.

Padin