Categories: Trending

Realisasi Impian Sejak Kecil, Pilot Cantik Ini Muncul Dengan Single Cerita Ku

Sering menyertai pertandingan nyanyian ketika di usia kanak-kanak, gadis cantik bernama Farah Rose ini merealisasikan impian untuk menjadi penyanyi.

Pemilik nama sebenar Nur Farah Najihah Rosmi, 22, ini kini mengatur langkah dan muncul dengan single berjudul Cerita Ku.

“Semenjak kecil saya memang suka menyertai pertandingan nyanyian dan ia didorong oleh ibu dan bapa. Saya memang menyimpan hasrat untuk menjadi penyanyi. Sehinggalah pada empat tahun lalu, saya menyanyi di sebuah acara di Pulau Langkawi.

“Komposer Eddie Hamid melihat saya di acara terbabit dan mengatakan saya mempunyai potensi. Dia menawarkan saya peluang untuk merakamkan lagu dan saya merasakan itu sebagai satu peluang yang sangat berharga.

“Namun begitu, saya tangguhkan hasrat terbabit kerana saya perlu melanjutkan pengajian dalam bidang juruterbang di HM Aerospace Langkawi pada 2018. Selepas tamat pengajian dan melengkapkan 200 jam penerbangan pada Disember tahun lalu, kini saya sudah bersedia untuk memberi fokus pada bidang nyanyian,” katanya.

Menerusi lagu ciptaan Eddie Hamid dan Puteri Yana serta lirik oleh Hakimi Hakim dan Arisz Abd Rahman ini, Farah bersedia untuk melangkah lebih jauh dalam dunia nyanyian.

“Saya dah dapat lagu ini ketika saya mendapat tawaran empat tahun lepas. Ketika itu saya sedang belajar, jadi tahun 2020 baru saya dapat merakamkan Cerita Ku. Selepas itu, saya cari masa yang sesuai untuk melancarkannya. Kesibukan dengan pembelajaran serta halangan wabak yang melanda juga melambatkan proses lagu ini keluar.

“Syukur Alhamdulillah, akhirnya lagu ini berjaya dilancarkan awal tahun ini. Saya mahu memberikan tumpuan terhadap bidang nyanyian dan berharap agar percubaan saya untuk membina tapak dalam industri ini diterima ramai,” katanya lagi.

Padin