Categories: Trending

Seramai 9.44 Juta Bakal Nikmati Rebat Tambahan & Diskaun Bil Elektrik Secara Bersasar

Kerajaan bersetuju membiayai pemberian rebat tambahan sebanyak 0.87 sen kWj membabitkan peruntukan sebanyak RM493 juta melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

Pemberian rebat tambahan ini membolehkan seramai 9.44 juta pemilik akaun TNB menikmati purata diskaun sebanyak lima hingga 40 peratus bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember depan.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021, Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang perlu diselaraskan berjumlah RM638.98 juta.

“Selaras dengan pelaksanaan mekanisme penetapan tarif elektrik di Semenanjung yang dilaksanakan sejak 2014, pelarasan kos penjanaan elektrik perlu dilaksanakan setiap enam bulan melalui mekanisme ICPT,” katanya.

Diskaun elektrik secara bersasar

Tambahnya lagi, selain pembiayaan rebat tambahan ini, kerajaan bersetuju untuk memberi diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna domestik dan bukan domestik bagi tempoh Julai hingga September 2021 untuk Semenanjung dan Sabah.

“Perkara ini  diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri menerusi PEMULIH”

“Namun penting kerana kerajaan bersetuju membelanjakan RM493 juta supaya tidak berlaku kenaikan tarif elektrik dan mengekalkan sebagaimana sekarang,”

Selain itu, KeTSA juga ingin memaklumkan golongan miskin tegar dengan pendapatan RM1,169 ke bawah yang berdaftar dalam Sistem e-Kasih adalah layak mendapat rebat bil elektrik RM40.

Diskaun elektrik sebanyak 10% bagi sektor ekonomi

Bagi sektor ekonomi yang terjejas,diskaun elektrik sebanyak 10 peratus akan dilanjutkan lagi dalam tempoh tiga bulan lagi iaitu bermula Oktober hingga Disember 2021.  Antaranya;

  • Pengendali hotel
  • Taman-taman tema
  • Pusat konvensyen,
  • Pusat beli belah,
  • Pejabat syarikat,
  • Pelancongan Tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan

Justeru itu, bagi mereka yang layak boleh mengemas kini nombor akaun dengan pihak utiliti bagi membolehkan mereka menikmati rebat bil elektrik yang disediakan.

Salma Syahbuddin