Categories: Trending

Sertai Kelas Lakonan, Ummi Nazeera Gembira Dapat Puaskan Hati Penonton

Drama Risik Pada Hati meraih sambutan hebat baru-baru ini, manakan tidak pelakon utamanya tak kurang hebatnya.

Menampilkan Ummi Nazeera sebagai pelakon utama telah membuka mata penonton tentang lakonan mantapnya sehingga menerima banyak pujian.

“Sejujurnya saya tak sangka sambutan sangat hebat daripada para penonton. Terima kasih kepada keluarga yang memberi kepercayaan untuk saya terus berkarya sebagai anak seni. Produksi drama ini sangat menakjubkan termasuk pengarah, Pali Yahya dan barisan pelakon yang memberi kerjasama baik. Semua itu antara sebab yang membuatkan drama ini meledak”

“Saya sangat terharu dengan segala kata-kata baik daripada penonton. Hati mereka terusik dengan watak Hayfa. Paling gembira apabila mereka dapat merasai emosi Hayfa. Sebagai pelakon, berkongsi rasa dengan penonton itu sangat penting dan saya syukur kerana perkara tersebut berjaya direalisasikan. Itulah anugerah sebenar yang saya berjaya raih menerusi drama ini.”

Bermain dengan emosi dan air mata, Ummi atau nama lengkapnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin, 31, berkata terdapat kesukaran memegang watak Hafya.

“Ya, watak ini agak sukar sebab banyak bermain dengan perasaan sendiri dan memendam perasaan. Sebenarnya, memendam rasa lagi sakit berbanding melepaskannya. Bertambah sukar apabila saya sudah lama tidak berlakon dan ini drama pertama selepas saya melahirkan anak kedua sekitar Jun tahun lalu.”

“Jadi, saya ambil inisiatif menyertai kelas lakonan selama dua hari bersama Fatimah Abu Bakar sebelum masuk ke set penggambaran. Kemudian, apa yang merisaukan saya, penggambaran dijalankan pada bulan Ramadan lalu. Tak boleh minum air dan perlu menangis, dalaman memang rasa ‘tenat’.”

Drama Risik Pada Hati mempunyai 28 episod itu telah menamatkan tayangannya pada awal bulan ini turut menampilkan Alif Satar, Zara Zya dan Izzue Islam.

Sumber: Kosmo

Khairil Khusyairi