Categories: Trending

Single ‘Terima Kasih’ Jadi Hadiah Inteam Untuk Semua

Selepas kejayaan Inteam melaksanakan konsert sempena ulangtahun ke-20 mereka pada hujung tahun lalu, Inteam kini tampil dengan single baru berjudul Terima Kasih.

Lagu hasil karya Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh serta lirik oleh Ikhwan Fatanna itu dilancarkan di seluruh platform digital sehari selepas Konsert 20 tahun Inteam selesai iaitu pada 13 Disember yang lalu.

“Kami melancarkan lagu baru ini sebagai hadiah dan tanda penghargaan serta terima kasih kami kepada seluruh pihak yang banyak menyokong kami sehingga mampu bertahan sehingga ke hari ini.

“Khususnya kepada kumpulan Hijjaz, penggiat-penggiat seni di belakang tabir, para wartawan dan media serta seluruh peminat dan ahli keluarga kami yang sangat memahami,” kata Syahril selaku ketua kumpulan Inteam.

Tambah Hazamin, mereka rasa teruja kerana dapat menyanyikan lagu karya komposer muda popular seperti Ikhwan.

“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk mengalunkan karya komposer muda yang sedang meningkat naik ini, bahkan dapat juga berduet dengan beliau dalam lagu ini. Ikhwan Fatanna turut sama berduet dengan kami dalam lagu ini sebagai simbolik gabungan generasi lama dan baharu dalam dunia nasyid,” tambah Hazamin.

Menurut Rahim pula, bait-bait lirik lagu Terima Kasih juga sesuai didedikasikan kepada para petugas barisan hadapan yang sedang berhempas-pulas menyelamatkan mangsa wabak COVID-19 dan memutuskan rangkaian kes wabak ini.

“Lagu ini juga kami tujukan kepada semua petugas barisan hadapan yang sedang berusaha dan berjuang untuk kita semua agar mereka terus bersemangat dan cekal. Kita juga haruslah sentiasa mematuhi SOP dan kekal duduk di rumah sekiranya tiada keperluan untuk keluar agar wabak ini dapat dihentikan segera,” ujar Rahim lagi.

Video muzik lagu Terima Kasih kini boleh ditonton di rangkaian Youtube Inteam Digital manakala audio lagu ini boleh di strim di seluruh platform Digital seperti Spotify, Deezer, KKBox, Joox dan lain-lain.

Padin