Categories: Trending

Sri Pentas Terima Ancaman Bom, 200 Kakitangan Kosongkan Bangunan Serta Merta

Bangunan Sri Pentas di Bandar Utama terpaksa dikosongkan serta-merta selepas dikatakan menerima laporan ancaman bom dalam premis itu, sekitar jam 10.30 malam tadi.

Menurut sumber, kira-kira 200 kakitangan diarah keluar sehingga Unit Pengesan Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan tindakan lanjut.

“Situasi itu benar berlaku dan bukannya latihan. Ancaman panggilan itu dikatakan dari seseorang dan semua kakitangan berada di luar bangunan,” katanya kejadian sudah dimaklumkan kepada pihak polis.

Seorang kakitangan syarikat itu menerusi rakaman siaran langsung di media sosial berkata ketika kejadian dia dan beberapa rakan sepejabat sedang bermesyuarat sebelum melihat kehadiran polis.

Anggota polis mengarahkan mereka yang berada dalam bangunan itu keluar dengan serta-merta.

“Apabila ditanya, anggota polis beritahu ada panggilan ancaman bom di sini (syarikat televisyen swasta terbabit).

” Kami difahamkan panggilan itu dibuat seorang lelaki yang mengaku dirinya Imam Mahdi,” katanya.

Difahamkan, Unit Pengesan Anjing (K9) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat turut berada di lokasi bagi melakukan pemeriksaan.

Bagaimanapun mereka dibenarkan masuk semula ke dalam bangunan selepas pemeriksaan selama dua jam tidak menemui sebarang alat atau objek mencurigakan.

SGMS Faida