Categories: Trending

Teruja Dilamar Sutradara Tersohor Indonesia, Impian Mira Filzah Jadi Kenyataan… Bergandingan Dengan Refal Hady Dalam Filem!

Pelakon Mira Filzah meluahkan rasa teruja bakal membintangi filem terbaharu arahan Hanung Bramantyo berjudul Cinta Tak Pernah Tepat Waktu.

Menurut Mira, dia bersyukur kerana impiannya untuk melebarkan sayap ke Indonesia sudah menjadi kenyataan.

“Sejujurnya, saya berasa sangat teruja, terharu dan bersyukur dapat terbabit di dalam filem ini kerana sememangnya untuk melebarkan sayap ke Indonesia sudah menjadi Impian saya sejak dahulu lagi.

“Jadi, apabila dipilih untuk terbabit di dalam filem ini dan bekerjasama dengan sutradara tersohor Indonesia, Hanung Bramantyo, satu kebanggaan buat saya,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, penerbit Seven Skies Motion, Azlin Hilda Abdul Latiff berkata impian menerbitkan filem adaptasi novel ini sudah dirancang sejak 2021 namun usaha pihaknya tergendala kerana pandemik.

“Alhamdulillah, impian ini terlaksana dan saya rasa sangat gembira. Semoga perjalanan penggambaran filem ini berjaya dan semuanya dipermudahkan,” katanya.

Selain Mira, filem Cinta Tak Pernah Tepat Waktu yang diadaptasi dari novel terlaris karya Phutut EA itu turut dibintangi oleh pelakon Indonesia ternama seperti Refal Hady, Nadya Arina dan Carissa Perusset.

Filem terbitan Dapur Film dengan kerjasama Seven Skies Motion dan K Studio dikhabarkan bakal memulakan penggambaran bulan ini dan akan ditayangkan pada tahun hadapan.

Lebih menarik lagi, runut lagu filem itu juga bakal  dinyanyikan oleh Aina Abdul dan Fabio Usher yang dicipta oleh komposer muzik tersohor, Melly Goeslaw.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain