Categories: HiburanTrending

Hati Meronta-Ronta Nak Menyanyi, Mila Jirin Pujuk Suami Minta Restu Buat ‘Comeback’ Beraksi Di Pentas

Setelah beberapa tahun menyepi dalam industri demi mengutamakan perniagaan, penyanyi Mila Jirin kini sedang memujuk suaminya agar memberi keizinan supaya dirinya dapat berkecimpung semula dalam dunia nyanyian.

Pelantun lagu Aku Lebih Tahu itu meluahkan rasa rindu untuk kembali aktif menyanyi seperti zaman mudanya dahulu.

Akui dirinya gagal menahan desakan dan minat terhadap bidang seni suara itu, Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin tidak akan mensia-siakan bakatnya andai diberi peluang tersebut.

“Sebagai seorang yang berdarah seni, saya mesti hendak menyanyi. Dodoi anak menyanyi, kalau dalam tandas pun menyanyi. Memang berkobar-kobar hendak menyanyi. Sekarang, nampak gaya, suami sudah mula memberi izin,” ujarnya.

Memetik laporan Berita Harian, suaminya bagaimanapun turut memikirkan soal komitmen Mila yang akan lebih sibuk dan sukar membahagi masa kelak.

“Suami kata kalau saya boleh imbangkan kerja sebagai majikan dan ibu… Anak juga sudah besar. Doakan saya sebab rindu sangat hendak menyanyi,” jelasnya.

Dalam pada itu, juara program realiti, Akademi Fantasia musim kelima (AF5) pada 2007 itu telah mula merisik beberapa komposer tanah air.

“Saya ada hubungi beberapa komposer untuk bertanya mengenai lagu baharu. Baru-baru ini, saya ada hantar mesej kepada Stacy dan bertanya sama ada dia mahu ciptakan lagu untuk saya… Semoga ada rezeki.

“Kalau kembali pun bukanlah mahu bersaing dengan sesiapa. Saya buat sebab suka dan darah seni masih mengalir dalam diri. Sebagai anak seni, bila dapat menyanyi lagu di atas pentas, ia ibarat terapi untuk diri saya,” katanya.

Mila meminta orang ramai mendoakan agar impiannya untuk kembali beraksi dalam bidang nyanyian menjadi kenyataan.

Sumber : BH

Syamir Shafie