#ThrowbackXTRA: Pernah Tampil Dengan Imej Rambut Pelik, Haiza Kongsi Kisah Raih Populariti Tahun 90-an

Kerjaya sebagai anak seni tidaklah indah belaka seperti mana yang dipaparkan di kaca televisyen mahupun media sosial.

Selagi bergelar seorang manusia, pasti akan menempuhi pelbagai pancaroba sebelum meniti kejayaan yang diimpikan dari kecil.

Menerusi segmen #ThrowbackXTRA minggu ini, penyanyi Haiza Hanafi yang pernah terkenal menerusi lagu Dag Dig Dug suatu ketika dahulu tampil berkongsi perjalanannya sebagai anak seni.

Pertandingan & Uji Bakat Jadi Titik Permulaan Kerjaya Seni

Biarpun sudah 28 tahun dalam industri seni hiburan tanah air, Haiza mengakui perjalanan anak seni suatu ketika dahulu tidaklah semudah yang dilalui oleh pendatang baharu sekarang.

Menurut Haiza, dia perlu melalui beberapa proses yang sangat panjang sebelum menjadi seorang penyanyi menerusi pelbagai pertandingan dan uji bakat.

“Orang tak tahu perjalanan kita untuk sampai ke tahap ini macam sekarang ni pun saya bukannya di tahap yang berjaya atau hebat mana tapi selesa.

“Kalau nak bezakan perjalanan setiap orang yang nak bergelar anak seni dulu tu sangat beza macam langit dengan bumi.

“Saya dulu bukan terus jadi penyanyi. Saya banyak join pertandingan di kampung. Dulu, kita kena pergi audition kalau nak jadi artis,” katanya.

Bibit Bakat Nyanyian Mula Disedari

Mengakui nyanyian hanyalah sekadar untuk mengisi masa lapang dan minat, Haiza menyatakan dirinya tidak sangka rezeki menyebelahinya apabila dirinya dipanggil untuk menyertai uji bakat sekitar tahun 90-an itu.

“Disebabkan dulu saya selalu masuk pertandingan, suatu hari tu saya dapat panggilan telefon ni dari penyampai radio Johor FM, Allahyarham Ismail Ibrahim, dia suruh datang audition sebab ada syarikat ingin mencari penyanyi.

“Pada awalnya, saya taknak sebab saya masih bersekolah. Bila bagitahu mak saya, dia izinkan dan kami pergi bersama.

“Tu pun tak dapat. Tapi lepas tu Allahyarham Ruslan Mamat iaitu producer pertama saya, uji bakat saya  untuk menyanyikan lagu Amelina yang Rindu tu. Semua tu process dan semuanya macam sekelip mata.

“Masa tu pun saya dah dintai oleh syarikat poligram yang ada otai-otai bernama besar macam Datuk M.Nasir dan Alleycats,” jelasnya.

Rambut Unik Simbolik Diri Dikenali

Demi identitinya dikenali ramai, pelantun lagu Dag Dig Dug ini sempat berkongsi bahawa dirinya sering tampil dengan imej rambut pelik dan unik suatu ketika dahulu.

“Bila dah bergelar anak seni pula untuk berada di tahap orang kenal pun susah. Orang tak tahu siapa saya. Tapi dulu saya dengan team syarikat rakaman yang sediakan sediakan juru solek, penata gaya untuk mencipta saya supaya bila keluar orang kenal.

“Dulu, saya terkenal dengan imej rambut. Bila sebut Haiza Dag Dig Dug je orang tahu macam-macam gaya rambut keluar. Saya bawa imej tu selama 3 tahun untuk dapat momentum tu.

“Bila kita keluar tak buat rambut, orang akan tanya sebab itulah imej yang saya bawa. Saya pernah tampil dengan gaya rambut ala menara KL, KLCC, sarang burung, siput dan banyak lagi sebab dulu mana ada media sosial.

“Dan, bagi saya, kalau nak berjaya bukan kena berharap pada PR kita sahaja bila berada di mana-mana acara. Diri sendiri pun kena ada skills untuk build connection supaya orang kenal kita dengan lebih mesra.

“Memang susah selagi tak masuk surat khabar ke TV memang orang tak kenal. Tapi sekarang kalau orang tak nampak kat media sosial kau takkan popular. Jadi cabaran kita sekarang untuk mengejar itu pula untuk kekal relevan,” katanya.

Fatin Nurain