Awal Ashaari Didakwa Melakukan Khianat Merosakkan Harta Benda

Pengacara popular, Awal Ashaari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini diatas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan tanah.

Pengakuan dibuat selepas pertuduhan dibacakan terhadap Awal atau nama sebenar Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Di dalam pertuduhan tersebut, perbuatan itu dilakukan di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara dengan nilai kerugian dianggarkan RM600 pada 11.30 pagi, 16 April lalu.

Awal didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun atau tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan kerana melakukan khianat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Namun begitu, peguam bela, Datuk M Reza Hassan dibantu peguam Hamizah Sobree yang mewakili Awal memohon pengurangan jaminan kepada RM3,000 atas alasan anak guamnya mempunyai pendapatan yang tidak konsisten sebagai pengacara, menyara isteri dan dua anak serta menanggung ibu bapanya yang sudah berusia.

Zhafran kemudian membenarkan jaminan dikurangkan kepada RM2,000 dan menetapkan 15 Julai untuk sebutan semula kes.

Sumber: Harian Metro

Maya Basir