Terpalit Isu Berhibur Di Kelab Malam, Afifi Al-Akiti Letak Jawatan & Beri Warkah Kepada Sultan Perak

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memaklumkan perkenan menerima permohonan perletakan jawatan dari Datuk Dr. Afifi Al-Akiti yang menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Perak.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Seri Ayop Hashim berkata warkah tersebut telah diangkat sembah untuk pertimbangan Sultan Perak.

“Baginda menzahirkan penghargaan atas segala khidmat yang diberikan Dr. Afifi dalam tempoh menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan dan berkenan menerima permohonan tersebut untuk dikuatkuasakan 15 Mei,”

Difahamkan, Afifi berkata perletakan jawatan beliau adalah berhubung video tular di serata media sosial yang memaparkan seorang lelaki berhibur di kelab malam sambil diampit dua wanita, yang didakwa ialah dirinya.

Namun, Afifi menjelaskan dia tidak mahu mengulas lanjut atau memberikan sebarang jawapan mengenai isu tulat tersebut kerana dikatakan tidak mahu mencetuskan perdebatan yang tidak bermanfaat.

Tambahnya lagi, video yang tular itu turut mempersoalkan kesesuaian peranannya dengan institusi agama serta mempertikaikan peranannya dalam menguruskan hal ehwal agama Islam.

“Menginsafi perkara ini jika berlarutan dan tidak dibendung akan menjejaskan darjat kemuliaan raja pemerintah dan institusi agama, saya mengutuskan warkah  untuk menyampaikan hasrat ikhlas mahu berundur diri daripada penyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan.

“Keputusan ini saya lakukan atas rasa tanggungjawab dan sifat taat setia seorang rakyat kepada sultannya demi melindungi darjat kemuliaan Paduka Seri Sultan Perak tidak dicacatkan begitu juga untuk mengelak institusi agama daripada dicemari,” katanya.

Terdahulu, heboh di ruangan media sosial mengenai sebuah video yang memaparkan kelibat seorang tokoh agama serta dikatakan penasihat dalam Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam sedang berlibur di kelab malam.

Kejadian yang tular sejak 2 Mei lalu menerusi sebuah video berdurasi 24 saat menampilkan figura  seorang lelaki dari sudut tepi yang tidak jelas wajahnya dengan memakai topi itu diapit oleh dua orang wanita di kiri dan kanannya.

Sumber: Utusan Malaysia

Aqilah Paharuzi