Bagaikan Acara Tahunan, Status Terkini Gangguan Bekalan Air Di Selangor Jejas 323,623 Pengguna

Sebanyak 323,623 akaun di lima wilayah di Selangor mengalami gangguan bekalan air berikutan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih akibat pencemaran bau yang dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir pada Selasa.

Dan, daripada jumlah tersebut sebanyak 463 kawasan di lima wilayah berkenaan mengalami gangguan bekalan air sejak semalam.

Kawasan terbabit adalah Petaling (172), Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20). Bagaimanapun, Air Selangor sedang bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengenalpasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai di sekitar Sungai berkenaan.

Gangguan dijangka pulih pada 3 September 2021

Namun, menerusi laporan terkini Air Selangor, bekalan air bersih dan selamat telah mula disalurkan pada jam 7 pagi tadi  secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna di kesemua kawasan yang terjejas.

Manakala,  463 kawasan yang terjejas akan menerima bekalan air secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam iaitu pada 3 September 2021.

Tambahny lagi, Air Selangor akan terus menggerakkan bantuan bekalan air alternatif kepada para pengguna dan premis-premis kritikal yang terlibat.

“Sebanyak 94 lori tangki air telah digerakkan ke kawasan-kawasan pengguna yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini. Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.”Katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai gangguan bekalan air, orang ramai dinasihtakan untuk layari laman sesawang www.airselangor.com dan laman sosial rasmi Air Selangor termasuk Facebook Twitter, Instagram.

Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor.

 

Sumber : Air Selangor

Salma Syahbuddin