“Bahasa Indonesia Lebih Diiktiraf Di Peringkat Antarabangsa,” – Menteri Indonesia Tolak Bahasa Melayu Jadi Bahasa Rasmi Kedua ASEAN

Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim memutuskan untuk tidak menyokong candangan Malaysia untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan ramsmi kedua blok ASEAN.

Memetik laporan Berita Harian, Nadiem berkata bahasa Indonesia telah banyak digunakan di Asia Tenggara sehingga tersebar kepada 47 negara, justeru itu beliau berpegang teguh dengan pendirian bahawa bahasa Indonesia adalah pilihan yang lebih baik untuk dijadikan bahasa kedua ASEAN.

“Dengan segala kelebihan bahasa Indonesia, dari segi sejarah selain linguistik, dan bagaimana ia sudah diiktiraf di peringkat antarabangsa, saya percaya bahasa Indonesia lebih sesuai.

“Ini kerana bahasa Indonesia berada di hadapan sebagai perantaraan untuk mesyuarat rasmi ASEAN,” katanya, yang dipetik portal berita Indonesia, Kompas Online.

Tambahnya, penggunaan bahasa Indonesia banyak diajar di universiti antarabangsa seperti di Eropah, Amerika Syarikat (AS), Australia dan beberapa negara Asia lain.

Terdahulu, pada 23 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perbincangan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN akan diadakan bersama pemimpin serantau.

Ismail Sabri berkata bahasa Melayu akan digunakan pada majlis rasmi kerajaan di luar negara hanya apabila bahasa Inggeris bukan bahasa kebangsaan negara tuan rumah.

Menurutnya, usaha ini adalah untuk memartabatkan bahasa ibunda pada peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, Nadiem turut berkata cadangan dan hasrat Malaysia untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraa akan dipertimbangkan namun harus dikaji secara terperinci terlebih dahulu.

“Sebagai Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, saya menolak cadangan itu tetapi memandangkan ada hasrat jiran kita untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa rasmi, sudah pasti ia perlu dikaji dan dibahaskan lebih lanjut,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Aqilah Paharuzi