Bank Malaysia Tingkatkan Pinjaman Sehingga 6.0 Peratus Tahun Ini

Menurut Penganalisis Kredit S&P Global Ratings, Nancy Duan dalam satu kenyataannya memaklumkan bank-bank di Malaysia akan mengembangkan pinjamannya sebanyak 6.0 peratus pada 2022 berbanding pertumbuhan pinjaman 4.5 peratus pada 2021.

Ini kerana, perbelanjaan modal yang lebih tinggi, pasaran minyak dan gas yang berkembang pesat dan kos pembiayaan yang kompetitif bagi pinjaman bank di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran modal.

“Ia akan mengambil masa lebih lama untuk pinjaman pengguna dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pulih berikutan keyakinan pengguna yang masih rapuh, tekanan besar yang dialami PKS sepanjang pandemik COVID-19, inflasi yang lebih tinggi dan keterhutangan isi rumah yang sudah meningkat,” katanya.

Tambahnya, bank Malaysia akan menghadapi lebih banyak tekanan menurun ke atas pendapatan faedah bersih (NIM) pada separuh pertama 2022 apabila kos pembiayaan mereka mula meningkat dan persaingan deposit semakin sengit.

Bagaimanapun, beliau mengunjurkan NIM boleh menjadi stabil pada separuh kedua kerana Bank Negara Malaysia akan mendapat manfaat daripada hasil pinjaman yang agak meningkat.

Bantu pulihkan perniagaan PKS

Peminjam daripada kalangan PKS dan isi rumah berpendapatan rendah adalah segmen yang paling terdedah di bawah skim bantuan pinjaman yang ditawarkan oleh bank Malaysia.

“Kami menganggarkan kredit kepada PKS dan isi rumah berpendapatan rendah menguasai kira-kira 30 peratus hingga 35 peratus daripada buku pinjaman seluruh industri,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata program bantuan kerajaan berjumlah RM40 bilion yang diumumkan baru-baru ini khusus menyasarkan mikro, PKS dan sektor tidak formal akan membantu memudahkan pemulihan perniagaan yang sangat diperlukan untuk perniagaan kecil.

 

 

Sumber : Bernama

Salma Syahbuddin