Categories: HiburanTrending

Hattan Terima Tawaran Berlakon Filem Kerana Dialek Negeri Sembilan

Penyanyi Datuk Hattan menerima tawaran berlakon filem Gadis Jolobu The Movie kerana ia mengetengahkan dialek Negeri Sembilan.

Menurut Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabudin, 57, dia membintangi filem komedi itu kerana mahu mengangkat budaya negeri kelahirannya.

“Sebenarnya, saya banyak terima tawaran berlakon tetapi banyak yang ditolak. Saya susah nak terima tawaran kerana berlakon ini memenatkan, tapi untuk Gadis Jolobu The Movie ini, saya tak boleh tolak sebab filem ini mengangkat budaya Negeri Sembilan.

“Selain berlakon, saya juga bertindak sebagai perunding yang menjaga dan memastikan dialek Negeri Sembilan yang dituturkan pelakon lain betul dan tidak kedengaran pelik. Tak banyak filem yang guna dialek Negeri Sembilan.

“Saya fikir, siapa lagi yang angkat filem dialek negeri kelahiran saya kalua bukan diri saya sendiri? Itu yang buat hati saya tergerak. Idea filem ini sudah tercetus sekitar tiga tahun lalu.

“Ia merupakan gabungan idea antara saya dan Pengasas Bersama Zebra Studio dan Penerbit Eksekutif Saraleana Nattaya Azmi, tapi kerana Covid-19, semuanya tertangguh. Baru sekarang kami dapat memulakan penggambaran,” katanya.

Filem kerjasama Zebra Studio Sdn Bd dan Tremendous Entertainment yang diarahkan oleh CL Hor itu menjalani penggambaran di Kampung Lonek, Negeri Sembilan.

Tambah Hattan, idea untuk menghasilkan filem Gadis Jolobu The Movie tercetus susulan kejayaan lagu duetnya dengan W.A.R.I.S berjudul Gadis Jolobu yang meraih hampir 10 juta tontonan di YouTube.

Filem kerjasama Zebra Studio Sdn Bd dan Tremendous Entertainment yang diarahkan oleh CL Hor itu memulakan penggambaran di Kampung Lonek, Negeri Sembilan, hari ini.

“Kita menghampiri fasa endemik, jadi tak salah untuk mencuba kerana kita hanya perlu ikut prosedur operasi standard (SOP) dan penonton di panggung wayang pun harus menuruti SOP. Tapi saya harap, apabila filem ini ditayangkan sekitar Jun nanti, ramai dapat memberikan sokongan.

“Saya yakin filem ini boleh mendapat sambutan yang baik sebab kalau filem menggunakan dialek Pulau Pinang dan Perak seperti Mami Jarum dan Hantu Kak Limah boleh berjaya, mengapa tidak filem ini?” katanya.

Turut berlakon ialah anak Hattan, Adam serta Joey Daud, Khir Rahman, Nizam Laksamana dan Ahirine Ahirudin.

Gadis Jolobu The Movie mengisahkan mengenai tiga bujang terlajak yang sangat rapat sejak kecil dalam usaha untuk mencari jodoh masing-masing di kampung halaman mereka.

Sumpahan ‘lambat sunat, lambatlah kahwin’ sering bermain di fikiran membuatkan mereka berusaha untuk mencari jodoh mereka walaupun menghadapi pelbagai dugaan.

Filem ini turut mengetengahkan beberapa elemen Adat Perpatih dan keunikan budaya Minangkabau di Negeri Sembilan.

Padin