Berjaya Tewaskan Robert Lewandowski, Messi Menang Trofi Ballon d’Or Buat Kali Ketujuh

Penyerang Paris Saint-Germain, Lionel Messi dianugerahkan trofi Ballon d’Or berprestij buat kali ketujuh dalam satu majlis di Theatre du Chatelet, Paris pada Isnin.

Messi, yang mengetuai Argentina memenangi Copa America di Brazil pada Julai untuk trofi utama pertama mereka sejak 1993, menghabiskan sebahagian besar tahun 2020 di Barcelona selama 21 tahun.

Bagaimanapun, tempoh Messi di kelab itu berakhir apabila dia pergi secara percuma pada Ogos dan menyertai PSG tidak lama kemudian.

Kini Messi masih mendahului anugerah Ballon d’Or daripada pemain Manchester United, Cristiano Ronaldo yang memiliki sebanyak lima trofi tersebut.

“Saya rasa sangat luar biasa untuk berada di sini lagi. Dua tahun lalu saya fikir ia adalah kali terakhir saya memenangi trofi ini. Memenangi Copa America adalah kuncinya.

“Ia adalah tahun yang istimewa bagi saya dengan kejuaraan Copa America ini. Ia amat bermakna untuk menang di stadium Maracana dan saya sangat gembira dapat meraikannya bersama warga Argentina.

“Saya tidak tahu jika ia adalah tahun terbaik dalam hidup saya, saya mempunyai kerjaya yang panjang, tetapi ia adalah tahun istimewa dengan gelaran bersama Argentina selepas berdepan masa sukar dan kritikan,” kata Messi.

Messi menewaskan 29 calon lain untuk anugerah itu, termasuk penyerang Bayern Munich Robert Lewandowski, yang menjadi pilihan untuk hadiah tahun lalu sebelum dibatalkan akibat pandemik Covid-19.

Terdahulu, Messi memenangi trofi pada 2009, 2010, 2011, 2012, 2015 dan 2019.

Sumber: ESPN

Marcella