10 Malam Terakhir Ramadan Dicemari Isu Dalam Masyarakat, Dr Zulkifli Siapkan Kajian Lengkap

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan dia sedang menyiapkan kajian lengkap mengenai isu yang terkait dalam masyarakat yang hangat diperdebatkan hari ini.

Menerusi tulisan di Instagram (IG), Dr Zulkifli menyatakan semua lapisan masyarakat wajar muhasabah berkenaan isu tersebut selepas meneliti hantaran daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Profesor Madya Datuk Dr. Luqman bin Abdullah dan Mufti Perlis, Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Bin Zainul Abidin (Dr MAZA).

“Hari-hari terakhir Ramadan di Malaysia nampaknya agak tercemar dengan pertelingkahan dalam isu yang tidak pernah menjadi masalah dalam realiti hidup bermasyarakat di Malaysia.

“Apabila saya meneliti hantaran dua sahabat baik saya, hakikatnya kedua-dua mereka menekankan hal yang sama dan wajar dimuhasabah oleh semua lapisan masyarakat.

“Saya sedang menyiapkan kajian lengkap berkenaan isu tersebut. Sudah pasti ada jalan tengah yang mampu menyelesaikan kemelut yang boleh mensia-siakan pahala Ramadan umat Islam pada kali ini.” tulisnya.

Dalam pada itu, Dr Zul berharap kajian yang dilakukannya itu dapat dijadikan garis panduan oleh pihak berwajib demi kesejahteraan negara.

“Kajian tersebut juga boleh dijadikan garis panduan oleh pihak berwajib bagi mengelakkan sebarang isu-isu melibatkan akidah, untuk berlaku di Malaysia.

“Ada banyak hal yang tersirat untuk kita renungi bersama pada peristiwa Perang Badar yang turut berlaku dalam bulan Ramadan.

“Demi akidah, perpaduan ummah, dan semangat muhibbah,” tutupnya.

Terdahulu, beberapa isu hangat diperdebat masyarakat seperti tular video ucapan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang dikatakan ‘mengharamkan’ penggunaan istilah kafir di rumah dan dalam kalangan anak-anaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Zulkifli Lelong Jam Tangan Rolex Kesayangan Pemberian Raja Arab Saudi Demi Bantu Palestin, Bidaan Kini Cecah RM131,000!

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Zulkifli Titip 13 Nasihat Buat Syamsul Yusof, Harap Isu Diselesaikan Dengan Baik

ARTIKEL BERKAITAN: “Hukum Mencium Hajar Aswad Jatuh Haram Sekiranya Membahayakan Keselamatan Diri” – Dr Zulkifli

ARTIKEL BERKAITAN: Dr MAZA Jelaskan Mengapa Calon Wanita Dalam Tempoh Edah Tak Boleh Keluar Berkempen – “Ini Adalah Titah Perintah Al-Quran & Al-Sunnah”

Khairil Khusyairi