Emily In Paris Gambarkan Rakyat Mereka Suka Mencuri, Kementerian Ukraine Buat Aduan

Drama bersiri Emily In Paris yang telah memasuki musim kedua mula ditayangkan pada pertengahan Disember lalu.

Dalam musim terbaru siri terbabit, jalan ceritanya menampilkan karakter bernama Petra yang berasal dari Kyiv, Ukraine dan wanita itu digambarkan sebagai seorang pencuri yang tidak berpendidikan.

Watak Petra yang dilakonkan oleh pelakon Ukraine, Daria Panchenko juga digambarkan mempunyai gaya fesyen yang buruk.

Menteri Kebudayaan Ukraine, Oleksandr Tkachenko telah membuat aduan kepada Netflix mengenai karakter terbabit.

Tkachenko menyifatkan gambaran karakter rakyat Ukraine yang dipamerkan di dalam siri itu sebagai satu penghinaan.

“Emily in Paris membawa imej karakter seorang wanita Ukraine yang tidak boleh diterima dan juga menghinakan. Begitukah cara orang Ukraine dilihat di luar negara?” tambah Tkachenko.

Menurut laporan media di Ukraine, Tkachenko telah membuat aduan tersebut menerusi penulisan surat.

BBC melaporkan, terdapat rakyat Ukraine yang setuju dengan pendapat Menteri Kebudayaan itu.

“Cara anda gambarkan imej orang Ukraine di dalam musim kedua, episod yang keempat sangat murah dan memalukan,” tulis Yevheniya Havrylko di hantaran Instagram miliknya.

Sebelum ini, Emily In Paris musim pertama juga pernah dikritik kerana menggambarkan streotaip rakyat Perancis yang suka berlaku curang dengan pasangan mereka.

Sumber: BBC News

Arfah