Gara-Gara Cuai Jalankan Proses Berkhatan, Pemuda Ini Dibayar Ganti Rugi RM3.1 Juta

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan bahawa semua defendan melakukan kecuaian terhadap keadaan dialami plaintif yang kini berusia 22 tahun.

Beliau berkata, mahkamah membenarkan ganti rugi khas seperti dinyatakan dalam pliding iaitu RM108,356, selain ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi teruk RM500,000, ganti rugi teladan RM500,000 dan kos RM100,000 dibayar kepada plaintif oleh semua defendan.

Ia berdasarkan kecuaian yang dilakukan terhadap seorang plaintif yang terpotong kepala alat kemaluan ketika berkhatan 12 tahun lalu.

Justeru itu, ganti rugi sebanyak RM3.1 juta akan dibayar kepada beliau selepas Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan samannya terhadap kerajaan Malaysia dan empat yang lain.

Terdahulu, plaintif memfailkan saman pada 19 Julai 2018 menerusi ibunya, dan mendakwa proses berkhatan pada 13 Disember 2010 tidak mengikut prosedur ditetapkan apabila keseluruhan kepala alat sulitnya dipotong menyebabkan beliau mengalami kecacatan kekal apabila kemaluannya tidak dapat disambung semula.

Akibat kecacatan kekal itu, plaintif yang ketika kejadian berusia 10 tahun berubah sikap menjadi amat pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya.

 

 

Sumber/foto : Bernama

Salma Syahbuddin