Gara-gara Pakai Seluar Dalam Wanita Sebagai Pelitup Muka, Penumpang Lelaki Dipaksa Keluar Dari Pesawat

Seorang penumpang lelaki dipaksa keluar dari sebuah pesawat di Florida selepas dia berkeras untuk memakai sehelai seluar dalam perempuan berwarna merah sebagai pelitup muka.

Lelaki berkenaan, Adam Jenne, 38, diminta turun sebelum pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Fort Lauderdale, Florida ke Washington, D.C.

Video kejadian pada Rabu telah dirakam penumpang lain, menunjukkan kru memberitahu Jenne bahawa dia tidak dibenarkan berada di dalam penerbangan jika dia enggan menanggalkan seluar dalam itu dari mukanya.

Selepas beberapa perbincangan, lelaki itu akhirnya meninggalkan tempat duduknya dan keluar dari pesawat itu.

Jenne mendakwa, ini bukan kali pertama dia memakai seluar dalam sebagai pelitup muka, malah dia disambut dengan reaksi berbeza daripada beberapa pesawat sebelum ini.

“Saya fikir cara terbaik untuk menggambarkan kemustahilan adalah dengan kemustahilan,” kata Jenne.

Sementara itu, United Airlines telah memuat naik satu kenyataan, ‘pelanggan tersebut jelas tidak mematuhi peraturan persekutuan mewajibkan pemakaian pelitup muka’ dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

“Kami menghargai tindakan pasukan kami menangani isu berkenaan di lapangan selepas pesawat itu berlepas, sekali gus mengelakkan sebarang potensi gangguan ketika berada di udara,” katanya.

Jenne telah dibayar balik untuk penerbangannya dan dijadualkan untuk terbang semula pada Khamis.

 

Sumber: NBC2

Marcella