“Islamkan Orang Bukan Cara Nak Dapatkan Followers…” – Pakar Ini Kongsi Adab & Cara Betul Islamkan Orang

Sebelum ini, tular mengenai beberapa orang selebriti yang dilihat berjaya mengislamkan beberapa individu.

Lantas, tindakan tersebut amat dipuji, namun tidak kurang juga ada yang mempertikaikan cara sesetengah mereka melakukan kerja-kerja dakwah tersebut.

Terbaharu, menerusi program temu bual, Sembang Viral TV9, pendakwah bebas Datuk Dr Azhar Ariff menerangkan bahawa, tugas mengislamkan seseorang individu bukanlah perkara mudah dan haruslah mengikuti prosedur yang telah ditetapkan oleh jabatan agama Islam negeri.

Ini termasuklah memahami sensitiviti keluarga individu yang ingin memeluk Islam dan tujuan mereka memeluk agama suci terbabit.

“Nak Islamkan orang ni bukan perkara mudah. Kena tahu dari sudut undang-undang, kefatwaan, fatwa dari mufti-mufti, patuh prosedur, dan faham sensitiviti keluarga orang yang diislamkan itu,” katanya.

Tambahnya lagi, berdosa sekiranya mengislamkan orang yang berlainan agama tetapi tidak memberi dorongan dan mendidik ke arah jalan yang betul hanya kerana mahukan publisiti atau followers semata-mata.

“Salah dan berdosa kerana tidak menunjukkan jalan yang betul dan biarkan dia terkapai-kapai tanpa bawa individu terbabit ke Jabatan Agama dan melalui proses selanjutnya.

“Kita ajak orang masuk Islam, tapi kita tidak ajar orang adab macam mana nak mengislamkan orang. Dia ada adab dan cara dia, bukan dengan cara cowboy.

“Islam ni adalah agama berstruktur. Di  Malaysia ni, Jabatan Agama Islam memainkan peranan yang kuat,” jelasnya.

Untuk info, program Sembang Viral adalah program bual bicara baharu yang bersiaran di TV9.

Kapsul berdurasi 10 minit itu dikendalikan secara bergilir oleh Datuk Rosyam Nor dan Ahmad Fedtri Yahya setiap hari pada jam 7.30 malam.

Salma Syahbuddin