Istiadat Penuh Tradisi, Perkahwinan Puteri Kedua Bongsu Sultan Brunei Curi Tumpuan

Puteri kedua bongsu Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah bersama Puan Hajah Mariam, Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah selamat melangsungkan pernikahan dengan pasangan pilihan, Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi pada 20 Januari 2022 dengan penuh Istiadat Nikah Diraja Brunei.

Bukan sahaja disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Brunei (RTB) termasuklah platform digital dan elektronik, istiadat perkahwinan ini turut berlangsung selama 10 hari dimulai dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada Ahad lalu di Istana Nurul Iman.

Dengan hanya sekali lafaz, Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah, 36, sah bergelar isteri kepada Awang Abdullah Nabil Mahmoud Al-Hashimi dalam majlis yang cukup meriah berlangsung di Masjid Omar Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Selepas protokol akad nikah, majlis diteruskan dengan istiadat bersanding pengantin diraja di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman pada Ahad ini.
Ia kemudian diteruskan dengan Majlis Persantapan Diraja dan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-jaga di Darussidiq, Jerudong.
Dan, majlis akan diakhiri pada Selasa depan dengan Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-jaga di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan.
Semestinya, perkahwinan penuh istiadat Diraja Brunei mencuri perhatian penduduk negara tersebut yang membanjiri ruangan komen dengan doa dan ucapan tahniah buat keluarga Diraja ini.
Sumber :  @bruneiroyalfamily, Awani, Bernama
Salma Syahbuddin