Kaunter Diskaun Bayar Saman Polis & JPJ Ditutup Serta Merta, Penganjur 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia Kena Kompaun RM1,000

Dek kerana gagal memastikan penjarakan fizikal serta menjadi penyebab kesesakan di hari pertama acara, penganjur Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dikenakan kompaun bernilai RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342).

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun rasmi Twitter milik Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, kaunter diskaun pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disediakan di acara terbabit juga ditutup serta-merta bermula petang ini.

Berikut merupakan kenyataan yang dikongsikan oleh Khairy:

Menurut Khairy, kompaun RM1,000 itu adalah nilai kompaun maksimum yang boleh dikenakan kepada individu dan pertubuhan ataupun organisasi, yang digunapakai selepas pengungkaian Ordinan-Ordinan Darurat di Dewan Negara pada 8 Disember lalu.

Kementerian Kesihatan mengambil maklum mengenai penganjuran majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung dari 9 hingga 12 Disember ini di KLCC anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri.

Semenjak acara itu bermula semalam, foto kesesakan orang ramai di tempat terbabit serta prosedur operasi standard (SOP) yang longgar heboh diperkatakan netizen di laman sosial.

Kredit foto: Ihsan pembaca / BH

Padin