“Lebih Baik Doakan Dari Terus Menghentam, Semoga Allah Tutup Aib Kita…” – Nabil Ahmad Mohon Netizen Berhenti Cari Kesilapan Orang Lain

Susulan isu ‘panas’ yang melanda industri hiburan sejak kebelakangan ini, pelakon dan pengacara, Nabil Ahmad tampil memberikan pandangannya mengenai perkara tersebut.

Menurut Nabil atau nama sebenarnya, Ahmad Nabil Ahmad, 39, apa yang berlaku terhadap pelakon, Zul Ariffin itu adalah ujian buatnya.

“Apa yang dia buat itu, memang hakikatnya salah. Namun, saya nampak ia sebagai ujian untuk dia yang memang saya sedia maklum, sedang belajar untuk dekatkan diri dengan Allah,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Nabil menyifatkan Zul sebagai seorang yang baik kerana mampu dan berusaha untuk belajar tentang agama dan mendekatkan diri dengan Allah.

Bagaimanapun, sebagai seorang manusia biasa dia memang tidak lepas dari melakukan kesilapan.

Justeru itu, Nabil memohon agar orang ramai, peminat dan semua pihak mendoakan dari terus menghentam dan memberi kata-kata makian terhadapnya.

” Saya selalu doakan supaya Allah tutup aib kita. Kita tak maksum. Apabila benda ini berlaku, saya tahu ramai rakan-rakan artis yang komen. Namun, pendekatan saya, kita sebagai manusia, Allah akan uji lebih-lebih lagi bila kita cuba dekatkan diri dengan-Nya.

” Dia adalah individu yang ada nama dan cukup baik, tapi dia boleh korbankan masa dia untuk dekatkan diri kepada Allah. Adalah lebih baik untuk kita sama-sama doakan daripada terus menerus menghentam.
” Apabila melihat kemarahan orang ramai yang memuncak dengan isu ini, saja jadi takut dan saya tahu, kita semakin dekat dengan pengakhiran zaman. Daripada terus mencari kesilapan orang lain, sama-samalah kita mempersiapkan diri dengan amal dan kebaikan sebagai bekalan,” jelasnya.
Salma Syahbuddin