Penganggur Bunuh, Tanam Teman Wanita Kerana Cemburu

Seorang lelaki yang merupakan orang pengawasan polis (OPP) telah membunuh dan menanam mayat teman wanitanya di tepi Sungai Jebong, Kuala Sepetang, Taiping pada 27 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Anuar Othman berkata pihak polis menerima laporan tentang penemuan tulang yang dipercayai bahagian kaki manusia pada 27 Oktober.

“Pihak polis telah menjumpai bungkusan kain yang ditanam di Kawasan berhampiran.

“Di dalam bungkusan kain tersebut terdapat rangka tulang dipercayai bahagian tubuh badan manusia dari kepala hingga ke pinggang dalam keadaan mereput sepenuhnya,” katanya di dalam satu siaran media.

Pihak polis kemudiannya melakukan penangkapan ke atas seorang lelaki yang merupakan orang pengawasan polis (OPP) berusia 34 tahun pada 29 Oktober.

Suspek turut didapati melanggar syarat pengawasan di bawah Seksyen 15(4) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Anuar berkata hasil soal siasat suspek yang juga seorang penganggur itu mengaku bergaduh dan memukul mangsa sehingga mati ketika berada di sebuah rumah.

“Dia kemudian membawa polis ke lokasi mangsa ditanam dan dipercayai telah meninggal dunia sejak dua minggu lalu.

“Motif kejadian dipercayai cemburu kerana kekasihnya itu mempunyai hubungan dengan orang lain sehingga menyebabkan pertelingkahan,” katanya ketika dihubungi BERNAMA di Ipoh semalam.

Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dari 1 hingga 6 November depan.

“Bedah siasat terhadap mayat wanita tersebut telah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi mengetahui punca kematian, namun belum dapat dikenal pasti,” kata Anuar.

Sumber: BERNAMA

Arfah