Pengarah Mr Millennium Akui Sukar Realisasi Babak Era 60-an

Pengarah drama Mr Millennium, Azmi Hata mengakui cabaran semasa sesi penggambaran bagi drama itu sukar kerana mempunyai genre komedi dan penggambaran untuk babak era 60-an.

Mengulas cabaran sepanjang sesi penggambaran, Azmi memuji pelakon yang mampu menyesuaikan diri kerana watak yang dibawakan itu agak sukar.

Drama lakonan Aqasha dan Cristina Suzanne bakal bersiaran mulai 7 Disember ini di slot Diandra TV9 setiap Isnin hingga Khamis jam 8.30 malam.

“Cabaran terbesar ialah pembinaan karakter itu sendiri. Antara saya, Aqasha dan Cristina, kami ada berbincang bagaimana ingin melakonkan untuk watak Jamil dan Mastora.

“Tapi saya puji antara antara dua artis yang saya dapat ini, mereka mampu menyesuaikan diri dan mempunyai idea yang luar biasa.

“Saya rasa susah sebab mahu buat babak era 60-an itu dah satu hal, tapi mereka ada idea-idea menarik yang saya suka.

“Saya juga kembangkan keseluruhan watak mereka jadi lebih menarik,” katanya ketika ditemui di sidang media maya drama Mr Millennium pada Khamis.

Azmi juga mengakui genre komedi ini tidak mudah dan pada masa yang sama sukar untuk menggambarkan kisah percintaan watak Jamil dan Mastora.

“Saya akui cabarannya adalah apabila kami mahu kan genre komedi tetapi bukan slapstik.

“Pada masa yang sama, saya juga ingin menggambarkan ia adalah cerita percintaan antara mereka berdua dari sudut pemikiran dan persepsi antara Jamil dan Mastora. Itu pun agak mencabar juga.

“Kita ‘create’ Cristina tapi dia sendiri ada idea yang luar biasa untuk watak Mastora dan saya suka bila rakaman yang dilakukan itu menjadi seronok di set,” katanya.

Marcella