Umur 18 Tahun Kini Layak Mengundi, Pendaftaran Automatik Pengundi 18 Tahun Ke Atas Dilaksana 15 Disember

Penguatkuasaan pendaftaran automatik bagi pengundi berumur 18 tahun ke atas akan diwartakan bermula 15 Disember ini.

Perkara ini disiarkan oleh Jabatan Peguam Negara menerusi Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 1 Disember yang turut mengandungi nama Setiausaha Jemaah Menteri Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subsekyen 1(2) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 [Akta A1603], Yang di-Pertuan Agong menetapkan 15 Disember 2021 sebagai tarikh Seksyen 3 Akta itu mula berkuat kuasa,” nyata warta itu.

Memetik laporan BERNAMA, Seksyen 3 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu menyatakan pindaan terhadap umur bagi warganegara yang layak mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun.

Ia turut membenarkan pendaftaran pengundi secara automatik bagi menggantikan sistem semasa yang sebelum ini memerlukan rakyat Malaysia untuk memohon untuk mendaftar sebagai pengundi.

Cadangan pindaan ini telah diluluskan pada mesyuarat kedua sesi kedua Parlimen ke-14 pada Julai 2019 sebelum ini, tetapi tidak dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksankan Undi18 menjelang 31 Disember ini bagi mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuching pada 7 September lepas.

Pada 6 September yang lalu, Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak memerintahkan SPR serta kerajaan untuk laksanakan Undi18 menjelang 31 Disember ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan mengkuatkuasakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Sumber: BERNAMA

Arfah