Ratu Elizabeth Cari ‘Bibik’, Dibayar RM43 Sejam

Keluarga Diraja Britain mengeluarkan iklan untuk mencari pembantu rumah profesional bagi memastikan kediaman pemegang taktha itu berasa dalam keadaan baik sepanjang masa.

Memetik laporan akhbar Metro UK pada Rabu, pembantu rumah ini akan bekerja selama 40 jam seminggu sama ada di Istana Buckingham atau di Istana Windsor.

Gaji yang ditawarkan pula adalah pada kadar £7.97 sejam iaitu bersamaan dengan RM43.88, kurang £1.93 (RM10) berbanding kos sara hidup ‘standard’ di Britain.

Meskipun begitu, pembantu rumah ini akan disediakan tempat penginapan dan makanan oleh pihak istana.

Selain itu, faedah lain yang turut disediakan adalah 15 peratus skim pencen caruman majikan dan 33 hari cuti termasuk cuti umum.

“Ini adalah laluan kerjaya dalam hospitaliti yang akan mengembangkan kemahiran dan kepakaran mengemas anda.

“Sertai pasukan profesional kami, anda akan membersihkan dan menjaga pelbagai ruang dalaman dan barangan serta memastikan ia dipersembahkan dengan sebaik mungkin,” tulis iklan tersebut.

Pengalaman tidak diperlukan kerana majikan iaitu Ratu Elizabeth lebih berminat dengan pendekatan proaktif dan keupayaan bakal pekerjanya untuk menangani cabaran baru.

Mereka yang berminat berpeluang membuat permohonan sehingga 19 Jun ini dan mereka yang berjaya disenarai pendek akan dipanggil untuk sesi temuduga pada bulan Julai.

Sumber: Gempak

Maya Basir