“Sampai Turun Berat Badan Saya” – Dr Amalina Bakri Kini Berbadan Dua

Doktor pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri mendedahkan dirinya kini sudah hamil anak sulung.

Melalui perkongsian di Instagram, Amalina sudah lama ingin berkongsi berita gembira tersebut dengan semua tetapi menunggu masa yang sesuai.

“Saya sangat teruja untuk berkongsi berita gembira ini dengan kamu semua yang saya mengandung! Sudah lama saya ingin berkongsi berita ini namun media sosial bukan sahaja tempat untuk berkongsi hantaran berkaitan pendidikan malah boleh jadi tempat yang toksik dan suka menghukum orang,” tulisnya.

Amalina turut berkongsi pengalaman pada awal kehamilannya lebih-lebih lagi pada trimester pertama sehingga awal trimester kedua.

“Waktu jam bekerja yang panjang dan pada masa yang sama melakukan Doktor Falsafah (PhD) adalah sangat sukar dan memenatkan.

“Saya mengalami trimester pertama hingga awal trimester kedua yang sangat teruk (kerap ‘morning sickness’ dan muntah-muntah) sampai turun berat badan saya.

“Penat juga merupakan faktor kerana melakukan pelbagai kerja dan tugas dalam satu masa adalah sangat mencabar,” tulisnya.

Tambahnya, perkara yang sering dia lakukan sebelum ini menjadi sukar untuk dilakukan sekarang.

Menurut Amalina, dia sangat bersyukur mempunyai suami yang ‘supportive’ sepanjang kehamilannya serta ibunya yang sangat perhatian tentang pemakanannya.

“Ya, dia (suami) sangat teruja! Dia baca semua buku berkaitan dengan bayi! Dia mungkin lebih mengetahui mengenai kehamilan lebih dari saya tahu sekarang!

“Ibu akan pastikan saya cukup makan, dan dia ‘froze’ banyak makanan Malaysia yang sedap dalam ‘freezer’ sebelum pulang ke Malaysia!” ujarnya.

Doktor pakar bedah ini turut rasa bersyukur kerana keadaan sudah semakin baik dan dia sedang seronok menikmati fasa bayi menendang dirahimnya.

Di akhir perkongsiannya, Amalina tidak sabar untuk menjalani hidup sebagai seorang ibu.

“Ia sangat mengagumkan dengan kehadiran si kecil ini membawa seribu makna dan saya tidak sabar untuk menjalani hidup sebagai seorang ibu!” tulisnya.

Untuk rekod, Amalina mendirikan rumah tangga bersama suami, Alexander Charles pada 31 Mac 2021 di London.

Maya Basir