Selangor Benarkan 10 Waris Hadiri Pengebumian Jenazah COVID-19, Bukan Secara Berkumpulan

Kerajaan Selangor hari ini membenarkan seramai 10 waris memasuki tanah perkuburan dan berada di zon menunggu yang ditetapkan untuk proses pengebumian jenazah COVID-19 bukan secara berkumpulan di tanah perkuburan Islam seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kariah masjid semasa tempoh Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut  Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni, untuk proses pengebumian secara berkumpulan jenazah COVID-19, hanya dua waris sahaja dibenarkan untuk memasuki tanah perkuburan dan berada di zon menunggu yang telah ditetapkan di tanah perkuburan seliaan dua pihak tersebut.

Zawawi berkata seramai 20 waris dan lima ahli jawatankuasa (AJK) masjid dibenarkan hadir untuk pengebumian kematian biasa bagi bacaan talkin serta tahlil selepas jenazah dikebumikan di tanah perkuburan kariah seliaan masjid.

“Untuk aktiviti menziarahi kubur keluarga atau saudara, tidak melebihi lima waris pada satu-satu masa dan dihadkan selama 30 minit sahaja,” katanya.

Manakala bagi aktiviti ziarah kubur melibatkan kawasan seliaan PBT kehadiran hanya 10 waris dan dibenarkan membawa imam serta pembantunya untuk bacaan talkin dan tahlil.

“Menziarahi kubur keluarga atau saudara pula tidak melebihi dua orang waris pada satu-satu masa dan diterhadkan selama 20 minit sahaja,” katanya.

Sumber: Bernama

Attiqah Mohd

""Above all, she is the girl who 'feels' things, who has hung on to the freshness and pain of adolescence, the girl ever wounded, ever young.”