Sotong Ring Didakwa Dari Usus Babi, Jakim Masih Jalankan Siasatan

Selepas tularnya beberapa hantaran di media sosial berkenaan isu gegelang sotong yang didakwa sebagai usus babi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut berkenaan isu tersebut.

Timbalan Ketua Pengarahnya (Dasar), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, pihaknya sedia maklum berhubung gambar gegelang sotong (sotong ring) yang didakwa diperbuat daripada dubur atau usus babi.

“Untuk makluman, perkara ini sedang dalam siasatan Jakim bersama beberapa Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) serta Kementerian Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.

Justeru itu, pihaknya memohon agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan sehingga hasil siasatan dimaklumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa berkenaan.

Terdahulu, seorang individu dipercayai memuat naik tangkapan skrin mendakwa bahawa gegelang sotong yang dijual di pasaran sebenarnya diperbuat daripada bahagian dubur atau usus babi dan dicampurkan dengan perisa sotong.

 

Salma Syahbuddin