Sumbang Bantuan Makanan Tanpa Mengira Bangsa, Sikap Zul Yahya Dipuji Warganet

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula berkuatkuasa di negara kita pada 18 Mac lalu, tidak dinafikan ada segelintir rakyat yang menerima tempias kerana tidak boleh keluar bekerja dan mencari sumber pendapatan. Situasi ini lebih menyedihkan untuk mereka yang perlu menanggung keluarga dengan pendapatan harian.

Terkesan dengan situasi yang berlaku di negara kita ketika ini, pelakon Zul Yahya turut turun padang untuk membantu golongan yang sedang memerlukan bantuan susulan lanjutan PKP. Apa yang lebih menyentuh hati, bantuan makanan yang diberikan oleh Zul Yahya diberi kepada semua golongan tanpa mengira bangsa dan agama.

Perkara ini dikongsi sendiri oleh Zul Yahya menerusi sebuah posting yang dimuatnaik di Instagram.

Menerusi kapsyen yang ditulis, Zul Yahya berkata hati kita perlu diisi dengan nilai kasih sayang dan sentiasa berusaha belajar untuk memupuk sikap keprihatinan terhadap seluruh manusia.

“Hidup dalam sebuah masyarakat yang memiliki pelbagai ragam, pastinya kita perlu mengurusnya dengan baik. Kita tidak boleh hidup secara sendirian tanpa mengambil kira kepentingan orang lain,” katanya.

Perkongsian pelakon yang pernah popular dengan drama Papaya ini telah mendapat perhatian daripada warganet. Rata-rata daripada mereka memuji sifat pemurah Zul dan mendoakan supaya Zul dimurahkan rezeki.

Sebelum ini, Zul mempunyai sebuah kedai makanan dan sering memberi lauk-pauk secara percuma kepada orang ramai.

Semoga murah rezeki Zul Yahya!

Aisyah Badrul

Shes got a 70s head but shes a modern lover