Categories: Trending

Urgh Gatalnya! Ketahui Tentang Kutu Rambut

Gatalnya jangan cakap, bila rambut diserang kutu tangan ni rasa nak melekat saja di rambut. Menggaru 24 jam! Jom kami kongsikan sedikit fakta mengenai kutu rambut & cara menanganinya. Tak susah mana pun, cuma kena rajin ya! Hiks.

Bersaiz antara 2-4mm dan tidak bersayap, kutu rambut hidup di kepala manusia dengan menghisap darah pada kulit kepala.

Ia bertelur pada pangkal rambut dan dalam 7-10 hari, telur akan menetas manakala kulit telurnya kekal melekat pada rambut. 6-10 hari selepas menetas, ia menjadi kutu dewasa dan mula merayap.

Kutu betina boleh menghasilkan 6 biji telur setiap hari selama 30 hari. Telur kutu boleh bertahan sehingga 3 hari namun tidak akan menetas pada suhu selain suhu kulit kepala.

Walaupun tidak boleh terbang, ia boleh merangkak dengan kelajuan sehingga 23cm seminit.

Yang melegakan, kutu kepala, tidak seperti kutu badan, bukanlah agen kepada apa-apa penyakit. Binatang peliharaan seperti kucing dan anjing juga bukan pembawa kepada kutu jenis ini.

Ketahui fakta tentang kutu kepala dan cara menghilangkan kutu jika terkena jangkitan seperti di bawah ini:

Jangkitan kutu kepala atau pediculosis terjadi apabila ditemui sekurang-kurangnya 10 ekor kutu hidup di atas kepala. Jangkitan boleh berlaku apabila rambut yang dijangkiti menyentuh rambut mangsa baru.

Cara lain termasuklah menggunakan skaf, sarung kepala, sikat atau berus rambut dan tuala mereka yang telah dijangkiti kutu kepala.

Namun, kutu hanya dapat hidup jauh dari kepala manusia sehingga 72 jam sahaja.

Simptom jangkitan kutu kepala

1) Simptom kegatalan bergantung kepada sensitiviti kulit kepala kepada komponen antigen air liur kutu.

Kadangkala ia mengambil masa 4 minggu hingga 3 bulan sebelum rasa gatal muncul, manakala ada juga yang tidak merasa gatal langsung.

2) Bagi mereka yang tidak merasa gatal, bintik-bintik putih pada rambut, iaitu telur kutu, menjadi simptom.

Tips Buang Kutu Di Kepala

1. Gunakan sikat kutu khas. Ia mempunyai gigi sikat yang lebih rapat daripada sikat biasa. Basuh rambut menggunakan syampu dan sapukan perapi rambut. Kutu akan terselit pada celah-celah gigi sikat yang rapat. Singkirkan kutu pada sikat dengan mengetuk-ngetuknya pada permukaan keras atau dengan mengalirkan air pada gigi sikat.

2. Ubatan seperti losyen dan penyembur hanya boleh digunakan apabila terdapat kutu yang hidup di kepala. Masa yang diambil dan bagaimana untuk menggunakannya bergantung kepada produk. Rawatan harus dilakukan sekurang-kurangnya berselang 7 hari bagi membunuh kutu-kutu yang baru menetas kerana kebanyakan ubatan ini tidak membunuh telur.

Kredit: The Asian Parent

SGMS Faida