Categories: Trending

Vokal Mania: Enggan Fikir Soal Kemenangan, Danial Chuer Takut Dengan Harapan Peminat

Rookie Vokal Mania, Danial Chuer mengakui takut dengan harapan yang diletakkan oleh ramai peminat terhadap dirinya.

Pernah menjuarai beberapa pertandingan realiti sebelum ini, Danial mendedahkan ada peminat yang mahukan dia bergelar juara Vokal Mania.

“Tipulah kalau saya tak takut dengan harapan orang terhadap saya. Sebelum ini, orang mengenali saya sebagai juara Idola Kecil 6 (2013) dan juara Idola Kecil Ultra (2014), sudah tentu ramai yang letak harapan.

“Ada juga peminat dan penyokong yang mengirimkan mesej, mereka mahukan saya mengekalkan kejuaraan. Sudah tentu saya rasa takut serta tertekan.

“Tetapi, saya sendiri menganggap apabila melangkah ke pentas akhir, itu adalah salah satu pencapaian terbaik, bukan senang nak bersaing dengan 24 orang rookie yang lain. Semua yang mara ke final sudah menang,” katanya.

Tambah Danial, dia juga enggan memikirkan mengenai kemenangan dan hanya mahu melakukan yang terbaik.

“Menang atau kalah, saya letak ke tepi. Apa yang penting, saya dapat banyak belajar. Apa jua keputusan yang bakal berlaku malam akhir nanti, juara atau tidak, saya harap semua yang menyokong saya semenjak hari pertama akan terus kekal menyokong kerana mereka kekuatan saya,” katanya lagi.

Selain bertarung dengan tiga rookie lain iaitu Eranzz Lambert, Aisha Retno dan Alif Kadim, Danial juga akan berentap dengan salah seorang daripada empat idol iaitu di pusingan battle iaitu Indah Ruhaila, Tomok, Lan Solo dan Aina Abdul.

Pada episod akhir Vokal Mania, seorang idol akan memenangi wang tunai bernilai RM50,000 dan seorang rookie akan memenangi hadiah bernilai RM30,000 termasuk wang tunai, satu rakaman lagu dan sebuah muzik video.

Siapa yang bakal bergelar juara rookie dan juara idol untuk program Vokal Mania? Sama-sama nantikan jawapannya malam ini, Sabtu, 26 Disember 2020, jam 9 malam ini di TV3!

Undi rookie dan idol kegemaran anda di www.xtra.com.my/vokalmania serta laman media sosial TV3 Malaysia untuk info lanjut.

Vokal Mania juga boleh ditonton strim langsung secara HD di YouTube TV3 Malaysia dan tonton.com.my ATAU menerusi LIVE TV di www.xtra.com.my/livetv.

Padin