Categories: Trending

Vokal Mania: “Saya Tak Takut Dengan Mereka” – Eranzz Mahu Beri Cabaran Kepada Idol!

Rookie Vokal Mania, Eranzz Lambert atau nama sebenarnya, Shah Iran Shahidan, 33, mengakui tidak takut untuk bersaing dengan idol program terbabit.

Eranzz mahu memberi persembahan terbaik untuk bertanding di pentas Vokal Mania Sabtu ini.

Selain Eranzz, rookie lain yang bakal memberikan saingan kepada Aina Abdul, Indah Ruhaila, Lan Solo dan Tomok pada minggu ini ialah Zetty Rashid, Erin dan Daus Husny.

“Sejujurnya, saya tak takut dengan idol. Saya cuma takut tak dapat mempersembahkan apa yang sudah saya rancang atas pentas Vokal Mania nanti. Itu yang paling saya takuti.

“Bertarung dengan idol adalah seperti pertandingan biasa, saya dan rookie lain akan ‘fight’ selagi boleh. Rasa gementar ada, tapi saya harus menyahut cabaran. Apa yang penting, jika kalah pun, biarlah tipis,” katanya kepada Xtra.

Pernah memenangi tempat ketiga pertandingan nyanyian anjuran stesen televisyen Indosiar, Golden Memories Asia (GOMES) yang berlangsung tahun lalu, Eranzz mengakui perkara terbabit adalah satu kelebihan.

“Saya akui sedikit sebanyak ia membantu, saya pernah melalui proses pertandingan terbabit, tekanan, persiapan dan sebagainya. Tetapi, konsep Vokal Mania sangat berbeza. Jika di GOMES, saya diadili oleh juri sepenuhnya.

“Di Vokal Mania, ia turut diadili oleh undian peminat. Jadi saya harus cari formula untuk membuatkan peminat mengundi dan memilih saya. Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik,” katanya lagi.

Untuk semua penyokong Vokal Mania, jangan lupa undi peserta kegemaran anda di www.xtra.com.my/vokalmania dan saksikan Vokal Mania, Sabtu ini, pukul 9 malam, di TV3!

Vokal Mania ini juga boleh ditonton strim langsung secara HD di YouTube TV3 Malaysia dan tonton.com.my ATAU menerusi LIVE TV di www.xtra.com.my/livetv dan layari www.xtra.com.my dan laman media sosial TV3 Malaysia untuk info lanjut.

Rancakkan perbualan di media sosial dengan menggunakan tanda pagar #vokalmania.

Padin